
PUTRAJAYA | 11 Feb 26 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membidas laporan media antarabangsa Bloomberg yang mengaitkan Ketua Pesuruhjayanya dengan dakwaan melindungi seorang pegawai kanan berhubung isu pengisytiharan harta, sambil menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas dan mengelirukan.
Dalam satu kenyataan semalam, SPRM berkata laporan berkenaan bukan sahaja gagal mengemukakan bukti kukuh, malah memberi gambaran tidak tepat terhadap proses tadbir urus dan mekanisme integriti yang diguna pakai dalam perkhidmatan awam.
Menurut SPRM, isu pengisytiharan harta penjawat awam adalah tertakluk sepenuhnya kepada Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) yang dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan bukannya di bawah budi bicara individu tertentu.
“SPRM telah meneliti isu yang dibangkitkan secara menyeluruh mengikut kerangka perundangan dan tatakelola sedia ada serta melaporkannya melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.
SPRM menegaskan gambaran seolah-olah terdapat perlindungan atau kegagalan penguatkuasaan adalah tidak tepat serta mengabaikan proses pentadbiran dan kawalan dalaman yang telah ditetapkan bagi penjawat awam.
Suruhanjaya itu turut menekankan bahawa laporan yang hanya menumpukan isu reputasi tanpa konteks perundangan dan fakta lengkap berisiko mengelirukan orang ramai serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi pencegahan rasuah negara.
“SPRM kekal komited menegakkan amanah, integriti dan ketelusan, dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku atau ketidakpatuhan,” katanya.
SPRM turut mengingatkan bahawa keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan tidak seharusnya digugat dengan laporan yang tidak lengkap atau tidak bertanggungjawab.
Baru-baru ini, media memetik laporan Bloomberg, bahawa Azam Baki, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Nilai pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.