Chegubard Dipanggil Lembaga Disiplin, Dakwa Dikenakan Tindakan Kerana Tegur Kepimpinan

KUALA LUMPUR, 4 Nov 25 — Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, mengesahkan beliau dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Khamis depan.

Menurutnya, notis berhubung sesi pendengaran itu diterima semalam melalui WhatsApp daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai setiausaha jawatankuasa disiplin.

“Saya tak sabar nak jumpa lembaga disiplin, tapi tarikh itu saya sudah ada kes mahkamah berkaitan Akta Hasutan, bukan kes rasuah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Chegubard berkata, beliau percaya pemanggilan itu berkait dengan kritikannya terhadap Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, R. Sanjeevan, yang didakwa menganjurkan program bersama Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Port Dickson tanpa pengetahuan kepimpinan bahagian.

“Walaupun tindakan itu biadab, jawatankuasa bahagian tetap bantu jayakan program,” katanya.

Beliau juga mendakwa ada usaha pihak tertentu dalam parti menggunakan lembaga disiplin untuk menekan suara ahli yang mengkritik.

“Kalau penjilat keliling presiden tak sabar nak pecat saya, silakan. Parti ini perlu diselamatkan,” tegasnya.

Dalam masa sama, Chegubard meminta sesi pendengaran ditangguhkan ke Disember kerana jadual mahkamah dan komitmen kempen PRU DUN Sabah.

Beliau turut menegur kepimpinan parti yang menurutnya “lembab dan gagal menjuarai isu rakyat”, sambil menggesa semua kem dalam Bersatu menghentikan serangan sesama sendiri menjelang pilihan raya Sabah.

“Kritikan saya kerana sayang parti. Rakyat kecewa melihat kita lebih sibuk dengan isu dalaman daripada perjuangan sebenar,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share