
KUALA LUMPUR, 22 Sep 25 – Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, menolak cadangan kerajaan menggunakan MyKad sebagai medium utama untuk menyalurkan subsidi petrol RON95, dengan alasan ia berisiko membebankan rakyat.
Menurut laporan Malaysiakini, Pua memberi amaran bahawa kehilangan atau keciciran MyKad boleh menyebabkan pengguna hilang akses subsidi, malah berhadapan dengan denda sehingga RM1,000 jika kehilangan berlaku berulang kali.
Sebagai alternatif, beliau mencadangkan pengeluaran kad khas dikenali sebagai “Kad 95”, yang hanya digunakan untuk tujuan subsidi petrol, sekali gus mengelakkan rakyat daripada bergantung sepenuhnya pada MyKad.
“Jika MyKad hilang atau tertinggal, rakyat akan rugi dua kali – kehilangan dokumen pengenalan diri dan tidak layak menerima subsidi. Lebih baik diwujudkan kad khas yang hanya untuk urusan ini,” katanya.
Cadangan Pua itu berbeza dengan pendirian Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, yang sebelum ini mencadangkan pemberian subsidi secara tunai kepada golongan layak, berbanding kaedah kad di stesen minyak.
Walaupun begitu, kerajaan tetap mengekalkan rancangan menggunakan MyKad, dengan kelayakan ditentukan menerusi Pangkalan Data Utama (Padu).
Program subsidi bersasar RON95 dijangka bermula hujung bulan ini, dengan harga petrol dilaporkan turun kepada RM1.99 seliter bagi pengguna yang layak. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.