
KUALA LUMPUR, 24 NOV 25 – Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan tiada tanda-tanda Bersatu akan memaafkan tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang didakwa melakukan usaha menggugat kedudukannya sebagai pimpinan parti melalui akuan bersumpah (SD).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan, tindakan dilakukan kedua-dua pemimpin itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan asas dan Perlembagaan Bersatu.
“Saya tidak kata tiada peluang untuk memaafkan. Tetapi bukan hari ini atau esok. Mereka mesti melalui satu tempoh hukuman yang sesuai kerana tindakan mereka menjejaskan kepentingan parti,” katanya ketika ditemui selepas program jelajah kempen PN di Tawau, hari ini.
Muhyiddin menegaskan, Bersatu mempunyai sistem tata kelola yang jelas dan tindakan telah diambil melalui Lembaga Disiplin serta Lembaga Rayuan mengikut peruntukan undang-undang parti.
“Sesiapa sahaja yang melanggar perlembagaan parti, mereka perlu bertanggungjawab. Tidak ada pengecualian,” tegasnya.
Wan Saiful sebelum ini dipecat daripada Bersatu manakala Wan Ahmad Fayhsal pula digantung keahlian selama satu penggal, menjadikan mereka antara enam ahli yang dikenakan tindakan disiplin kerana mengumpulkan SD untuk menggerakkan transisi kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mengulas sejauh mana kedua-dua tokoh itu boleh kembali dalam pasukan kepimpinan parti, Muhyiddin berkata, ruang hanya wujud selepas mereka benar-benar menunjukkan keinsafan.
“Kalau mereka sedar kesilapan mereka kemudian hari, itu perkara lain. Tetapi mereka perlu melalui proses hukuman terlebih dahulu sebelum boleh membuat rayuan,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.