
KUALA LUMPUR, 18 Sept – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bertitah supaya isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru dan kawasan Kampung Baru di ibu negara ditangani secara teliti dan berhemah dengan mengutamakan kepentingan orang Melayu.
Dalam kenyataan media hari ini, baginda menegaskan tiada halangan sekiranya kawasan bersejarah itu mahu dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya perlu jelas serta berpihak kepada masyarakat Melayu.
“Beta mahu dalam setiap pertimbangan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan Kampung Baru harus diambil kira,” titah baginda.
Baginda mengingatkan bahawa Kampung Baru ditubuhkan pada tahun 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu bagi tujuan pertanian melalui kurniaan Sultan Selangor ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah pada 1900 yang mewartakan kawasan itu sebagai Malay Agricultural Settlement (MAS).
Sultan Sharafuddin turut mengimbas kembali peranan penting Kampung Baru dalam sejarah bangsa, termasuk menjadi lokasi Kongres Melayu Se-Malaya pada 1946 yang mencetuskan penubuhan UMNO, selain berfungsi sebagai pusat perlindungan orang Melayu semasa tragedi 13 Mei 1969.
“Sesungguhnya, Kampung Baru adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900. Maka, sebarang keputusan atau usaha pembangunan di Kampung Baru harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang,” titah baginda.
Baginda juga mengingatkan bahawa Kampung Baru memiliki nilai nostalgia yang besar, termasuk Masjid Jamek Kampung Baru yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor ke-6, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah dan dipersetujui supaya kekal di lokasi sedia ada.
Selain itu, baginda menekankan pengalaman peribadi dengan kawasan tersebut kerana pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Kampung Baru ketika ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor.
Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa Kampung Baru bukan sekadar kawasan penempatan, sebaliknya simbol maruah, identiti dan kelangsungan orang Melayu di Kuala Lumpur. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.