
KUALA LUMPUR, 18 NOV 25– Dua lelaki warga China yang berdepan pertuduhan menggunakan dron untuk merakam gambar di kawasan larangan Kementerian Pertahanan (Mindef) memohon pengurangan pertuduhan daripada mengintip kepada kesalahan lebih ringan.
Kedua-dua tertuduh, Li Luorong, 27, dan Chen Junhao, 20, kini berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 3(a) dan Seksyen 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 berkaitan insiden pada 6 Ogos lalu di kawasan Mindef, Jalan Padang Tembak.
Peguam Ooi Hong Ming, mewakili kedua-dua mereka, memaklumkan bahawa satu representasi telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 22 Okt bagi memohon pertuduhan dikaji semula.
Mengikut pertuduhan Seksyen 3(a), tertuduh didakwa cuba mendapatkan maklumat rasmi yang boleh memudaratkan keselamatan serta kepentingan negara dengan menggunakan dron DJI Mavic 3 Enterprise.
Jika sabit kesalahan, hukuman penjara seumur hidup boleh dikenakan.
Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1), mereka didakwa mengambil gambar udara kawasan larangan tanpa kebenaran dan berdepan hukuman penjara satu hingga 14 tahun jika didapati bersalah.
Pada sebutan semula kes hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suhaila Haron, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memaklumkan bahawa representasi itu masih dalam pertimbangan AGC.
“Ini representasi kali pertama dan ia masih dalam pertimbangan AGC. Kami mohon tarikh sebutan bagi memaklumkan jawapan serta serahan dokumen tambahan,” katanya.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 7 Jan depan untuk pihak pendakwaan mengemukakan keputusan representasi berkenaan, manakala perbicaraan ditetapkan pada April tahun hadapan. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.