
KUALA LUMPUR, 29 Jul 25 – Tindakan pihak berkuasa menahan Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkait Himpunan Turun Anwar sebagai tindakan zalim.
Ketua Penerangan Perkasa, Irwan Fahmi Ideris mendakwa, menahan aktivis politik itu juga menunjukan kerajaan terdesak.
“Menangkap suara rakyat bukan penyelesaian, ia hanya menambahkan bara. Che’gu Bard adalah pejuang rakyat. Beliau bersuara demi nasib golongan terpinggir, yang hari demi hari dihimpit kos sara hidup, cukai yang membebankan dan kegagalan kerajaan dalam menunaikan janji,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, polis mengesahkan menahan dua individu termasuk Che’gu Bard berhubung insiden menyebat patung menyerupai Anwar semasa perhimpunan ‘Turun Anwar’ di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.
Irwan Fahmi berkata, polis perlu segera membebaskan aktivis itu tanpa syarat, dan menghentikan tindakan intimidasi terhadap rakyat yang mahu berhimpun secara aman.
“Kami tidak gentar. Rakyat akan terus bersuara. Jika seorang Chegu Bard ditahan, akan muncul seribu lagi pejuang.
“Rakyat bukan penjenayah. Rakyat bangkit kerana terdesak,” katanya.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebelum ini berkata, mereka ditahan semalam bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.