Tak Munasabah Senator Terikat Akta Anti-Lompat Parti, Kata Peguam

KUALA LUMPUR, 4 Jun 25 – Akta Anti-Lompat parti hanya terpakai kepada Ahli Dewan Rakyat sahaja manakala ahli Dewan Negara atau senator tidak terikat dengan akta berkenaan, kata peguam Haniff Khatri Abdulla.

Haniff berkata, tidak munasabah untuk akta itu diperluas kepada senator memandangkan ianya jawatan lantikan dan tidak melalui proses pilihan raya umum.

“Jika undang-undang itu digubal untuk mengosongkan kerusi di Dewan Rakyat, maka ia memadai untuk tujuan tersebut sahaja, untuk apa ia mahu dipinda dan diperluas ke Dewan Negara?

“Senator bukan dipilih oleh rakyat, tetapi dilantik,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian, baru-baru ini.

Haniff berkata, hanya mereka yang tidak faham proses tadbir urus negara akan mencadangkan agar akta berkenaan turut digunakan untuk senator dan ahli Dewan Negara.

“Cadangan itu bukan soal keperluan, tetapi langsung tidak munasabah. Ia datang daripada pihak yang tidak memahami sistem tadbir urus negara, gagal membezakan antara wakil rakyat yang dipilih dengan senator yang dilantik dan tidak faham kuasa perdana menteri dalam pelantikan menteri.

“Akta Anti-Lompat Parti tidak terpakai kepada Ahli Dewan Negara atau Senator kerana undang-undang tersebut hanya dikuatkuasakan terhadap Ahli Dewan Rakyat sahaja,” kata Haniff lagi.

Sehubungan itu, Haniff berkata tidak munasabah untuk cadangan itu dipertimbangkan memandangkan kerusi Dewan Negara tidak dipertandingkan melalui pilihan raya umum seperti di Dewan Rakyat.

Manakala proses pemilihan jawatan senator dilakukan oleh perdana menteri sebelum mereka dilantik mengisi kedudukan dalam Jemaah Menteri.

Isu itu muncul selepas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri  Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mengumumkan perletakan jawatan sebagai ahli Umno dan menyertai PKR pada 30 Mei lalu.

Tengku Zafrul yang dilantik sebagai senator sebelum menyertai Jemaah Menteri atas kapasiti ahli Umno turut memaklumkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), dan Ketua Umno Bahagian Kota Raja sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti itu.

Ketika PRU15, Tengku Zafrul yang bertanding atas tiket Barisan Nasional tewas kepada penyandang Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Kuala Selangor.

Bekas Menteri Kewangan itu memperoleh sebanyak 30,031 manakala Dr Dzulkifli menang tipis dengan kelebihan 1,002 undi selepas memperoleh sebanyak 31,033 undi. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share