
KUALA LUMPUR | 22 Mei 26 — Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan penangguhan sementara penguatkuasaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 sementara semakan kehakiman penuh didengar di mahkamah.
Keputusan itu disambut baik oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang menjadi antara pihak memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap pelaksanaan peraturan berkenaan.
Presiden MMA, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, keputusan mahkamah menunjukkan isu undang-undang yang dibangkitkan persatuan itu wajar diberikan penelitian menyeluruh.
Menurut beliau, MMA tidak menolak prinsip ketelusan harga ubat, namun membantah penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengawal amalan perubatan swasta.
“Kami menyokong ketelusan harga. Pesakit berhak mengetahui apa yang mereka bayar. Tetapi pengawalseliaan sektor kesihatan sepatutnya dibuat di bawah undang-undang kesihatan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan sektor penjagaan kesihatan swasta sebenarnya sudah tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 serta peraturan berkaitan sejak hampir dua dekad lalu.
MMA turut mendakwa pelaksanaan peraturan baharu itu akan menambah beban kawal selia kepada klinik dan pengamal perubatan swasta.
Sebelum ini, kerajaan mempertahankan dasar paparan harga ubat dengan menyatakan ia bertujuan meningkatkan ketelusan dan melindungi pengguna daripada caj tidak munasabah. Peguam Negara juga berhujah bahawa mahkamah tidak sepatutnya campur tangan dalam dasar pengguna yang diputuskan kerajaan melainkan bercanggah dengan Perlembagaan atau undang-undang.
Mahkamah bagaimanapun menegaskan penangguhan itu tidak memutuskan merit kes, sebaliknya hanya menghentikan sementara penguatkuasaan sehingga semakan kehakiman selesai diputuskan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.