
KUALA LUMPUR | 22 Mei 26 — Timbalan Pengerusi Cendekiawan Negara, Prof Madya Ir Dr Khairudin Md Isa berpandangan kepimpinan BERSATU ketika ini menyebabkan parti itu semakin dilihat membawa imej politik yang tidak stabil dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, perkembangan semasa yang berlaku dalam gabungan pembangkang itu sebenarnya sudah dijangka berikutan pelbagai isu dalaman yang membelenggu BERSATU sejak sekian lama.
“Krisis dalaman BERSATU semakin serius dan parti itu semakin dilihat membawa imej yang tidak stabil,” katanya kepada politiko.
Beliau mendakwa Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin kadangkala mengambil pendekatan yang boleh menggugat kekuatan PN sebagai satu pasukan politik.
Dalam masa sama, Khairudin berkata PAS juga dipercayai semakin tidak selesa dengan tindakan beberapa pemimpin BERSATU termasuk Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang didakwa sering “melangkaui batas” dalam konteks hubungan sesama parti komponen.
Katanya, perebutan pengaruh dalam PN turut menyumbang kepada ketegangan yang berlaku ketika ini.
Menurut beliau, PAS kini mula melihat kekuatan sendiri selain lebih cenderung kepada pendekatan penyatuan ummah berbanding strategi politik yang dibawa BERSATU.
“BERSATU dilihat sangat bermasalah dan lemah di bawah kepimpinan Muhyiddin, Azmin Ali dan Tun Faisal,” katanya.
Khairudin turut membangkitkan kelemahan Bersatu di Johor walaupun Muhyiddin sendiri berasal dari negeri tersebut.
“BERSATU Johor sangat lemah walaupun presidennya datang dari Johor. Itu satu indikasi yang tidak bagus dan menunjukkan presiden gagal memperkasa parti,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu memberi gambaran bahawa hubungan dalam PN kini semakin tegang dan memerlukan penilaian semula oleh semua pihak dalam gabungan tersebut.
Terdahulu, Presiden PSD menegaskan bahawa PAS sedang meneliti kembali kerjasama dengan BERSATU yang kini dilihat membawa lebih banyak masalah dalam gabungan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.