Chegubard Saran Susun Gabungan Baharu, Dakwa BERSATU Kini “Boneka Anwar”

KUALA LUMPUR | 22 Mei 26 — Penyelaras Kebangsaan Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mencadangkan supaya satu gabungan politik baharu yang lebih stabil, jujur dan inklusif dibentuk bagi menyatukan rakyat menghadapi kerajaan hari ini.

“PETA menyambut baik kenyataan Bendahari PAS Pusat melihat kerjasama di bawah jajaran #ResetMalaysia lebih stabil. Katanya.

Tambah beliau, keadaan semasa dalam BERSATU menunjukkan parti itu semakin lemah dan tidak lagi memainkan peranan sebagai pembangkang yang tegas.

Chegubard mendakwa BERSATU kini hanya menjadi “boneka” kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain lebih dipengaruhi agenda kelompok tertentu dalam parti.

“PPBM kini hanya boneka Anwar Ibrahim dengan agenda peribadi kelompok,” katanya di facebook beliau, hari ini.

Beliau turut mendakwa pemimpin dan ahli yang agresif menyerang kerajaan akan diberikan amaran atau dianggap musuh dalam parti sekiranya terus lantang mengkritik.

Katanya, keadaan itu menyebabkan BERSATU kini semakin kehilangan kekuatan dalaman selain didakwa dikendalikan secara diktator.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan BERSATU sebagai antara faktor Perikatan Nasional (PN) gagal berkembang lebih besar.

Chegubard berkata, PETA menyambut baik pandangan Bendahari PAS Pusat yang melihat kerjasama di bawah jajaran “Reset Malaysia” sebagai platform politik Melayu yang lebih stabil.

Beliau turut merujuk tindakan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang berkongsi kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai keperluan mengkaji semula hubungan dengan Bersatu.

“Tiba masanya membina gabungan yang lebih jujur dan inklusif menyatukan rakyat dalam mendepani rejim,” katanya.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan meneliti beberapa tindakan BERSATU yang didakwa melanggar semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional (PN), termasuk penarikan akuan bersumpah (SD) oleh ADUN Bersatu di Negeri Sembilan.

Dalam sidang media tersebut, Hadi menjelaskan PAS sedang meneliti kembali kerjasama dengan BERSATU yang kini dilihat membawa lebih banyak masalah dalam gabungan tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share