
MELAKA | 29 Sept 26 — Istilah “Tanah Melayu” tidak pernah hilang daripada Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya kekal disebut dalam beberapa peruntukan undang-undang tertinggi negara, kata Datuk Profesor Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz.
Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggunakan istilah “Negeri-Negeri Tanah Melayu” dan “Semenanjung Tanah Melayu”, sekali gus menunjukkan kedudukan istilah itu dalam kerangka perundangan negara.
“Tanah Melayu tidak pernah hilang yang hilang sebenarnya ialah kefahaman asas kita tentang negara kita,” katanya dalam sesi “Unravelling the Polemic of Tanah Melayu” pada Musyawarah Nasional 3.0 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.
Menurut Shamrahayu, Perlembagaan merupakan undang-undang yang mencipta, membentuk dan menjadi asas kepada kehidupan bernegara, justeru masyarakat perlu memahami kandungannya sebelum membuat kesimpulan mengenai kedudukan Tanah Melayu.
“Kita harus mengenali apa perlembagaan. Kita harus tahu bahawa perlembagaan itu adalah undang-undang yang mencipta negara kita, membentuk dan membina negara kita, bagaimana kita hidup bernegara,” katanya.
Beliau berkata, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan pernah menggunakan istilah “Negeri-Negeri Tanah Melayu” selepas pembentukan Malaysia pada 1963, bersama “Negeri-Negeri Borneo” dan Negeri Singapura.
Kedudukan itu berubah selepas pindaan Perkara 1 yang berkuat kuasa pada 1976 apabila nama negeri-negeri Persekutuan disenaraikan secara langsung.
Bagaimanapun, Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 sekali lagi memasukkan secara jelas kategori “Negeri-Negeri Tanah Melayu”, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu, serta “Negeri-Negeri Borneo” iaitu Sabah dan Sarawak.
Shamrahayu berkata, sejarah pembentukan negara juga perlu difahami melalui dokumen-dokumen utama termasuk Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dokumen kemerdekaan 1957 dan pengisytiharan Malaysia 1963.
“Kita kembali kepada sejarah untuk masa depan yang lebih cerah. Saya selalu menyatakan sejarah itu adalah sekolah,” katanya.
Menurut beliau, kegagalan memahami sejarah dan kandungan Perlembagaan boleh menyebabkan tafsiran berbeza mengenai kedudukan Tanah Melayu serta menjejaskan usaha membina kesepakatan mengenai masa depan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa pembentukan Malaysia pada 1963 tidak bermaksud Tanah Melayu telah dihapuskan.
“Asas penubuhan Malaysia telah menghapuskan atau telah menghilangkan Tanah Melayu? Jawapannya pasti tidak,” katanya.
Mengulas penggunaan istilah tersebut, Shamrahayu menyeru masyarakat Melayu dan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak berasa segan menggunakan istilah yang sememangnya terdapat dalam Perlembagaan.
“Bagi orang-orang Melayu, bagi seluruh warga negara Malaysia, jangan segan menyebut negeri tanah Melayu. Jangan menyebut Semenanjung Tanah Melayu. Ia adalah istilah yang disebut dalam undang-undang,” katanya.
“Kita kata yang benar, jangan bayang-bayang sendiri. Kalau kita tidak menghormati, orang lain akan menghormati diri kita,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.