Akidah Umat Islam Jangan Digugat, Tegas JMWP

PUTRAJAYA | 29 Sep 26 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) menegaskan pendiriannya menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha, gerakan atau penyebaran fahaman yang boleh menggugat pegangan akidah umat Islam.

JMWP dalam kenyataan media hari ini berkata pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyelewengan akidah yang menyimpang daripada ketetapan al-Quran dan al-Sunnah, serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan umat Islam di Malaysia.

“JMWP menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha, gerakan atau penyebaran fahaman yang cuba menggugat dan merosakkan pegangan akidah umat Islam di negara ini,” menurut kenyataan itu.

Pendirian berkenaan hadir selepas JAWI sebelum ini menganjurkan Seminar Kesedaran Akidah Peringkat Wilayah Persekutuan yang antara lain memberi fokus khusus kepada Pengenalan Asas New Age Movement (NAM) serta perkembangan NAM di Malaysia.

Isu NAM turut menjadi perhatian JAKIM susulan dakwaan yang mengaitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, dengan penyebaran ajaran berkenaan.

JAKIM kemudiannya mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Marhamah, dengan penglibatan Mufti Wilayah Persekutuan serta Panel Pakar Akidah JAKIM bagi meneliti perkara itu dari sudut disiplin akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.

Menurut JMWP, umat Islam perlu sentiasa berpegang teguh kepada fatwa yang telah diputuskan berkaitan pegangan akidah dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang ajaran yang diragui kesahihannya.

Masyarakat juga diseru supaya merujuk sebarang kemusykilan berkaitan akidah kepada badan-badan agama yang berautoriti serta tidak bertindak secara melulu sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian sejagat.

JMWP turut menegaskan akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam membanteras sebarang tindakan yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

“Akidah yang sahih adalah tunjang kekuatan umat. Memeliharanya adalah tanggungjawab bersama,” menurut kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share