Letak Jawatan Tunggu Najib Balik Rumah, Ini Wayang Kata Wan Saiful

KUALA LUMPUR | 30 Sep 26 — Keputusan Anthony Loke menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan tetapi menetapkan ia hanya berkuat kuasa apabila Datuk Seri Najib Razak pulang ke rumah disifatkan sebagai “wayang politik Madani” oleh Naib Presiden Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful mempersoalkan alasan peletakan jawatan Loke yang dikaitkan dengan prinsip berhubung isu tahanan rumah Najib.

“Hebat betul drama zaman Kerajaan Madani ni. Kononnya nak letak jawatan disebabkan prinsip, tapi tarikh kuatkuasa kena tunggu DS Najib Razak balik rumah?” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, jika peletakan jawatan itu benar-benar dibuat atas dasar prinsip, Loke sepatutnya tidak terus berada dalam Jemaah Menteri dan menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan.

“Duduk di kerusi Menteri, elaun dan keistimewaan masuk setiap bulan, program rasmi berjalan menggunakan wang rakyat, tapi atas kertas kononnya dah buat ‘protes’,” katanya.

Wan Saiful turut mempersoalkan desakan pemimpin DAP supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan didedahkan kepada orang awam.

Katanya, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada DAP cuba mempertikaikan keputusan yang dibuat melalui Lembaga Pengampunan, termasuk perkara yang membabitkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Sepatutnya apabila mesyuarat telah selesai dan keputusan telah dibuat, tidak timbul lagi sama ada Menteri bersetuju dengan YDP Agong atau tidak. Keputusan mesyuarat itu perlu menjadi keputusan bersama yang muktamad, apatah lagi jika ia membabitkan kuasa prerogatif YDP Agong,” katanya.

Wan Saiful menggesa DAP supaya tidak mempolitikkan kuasa atau institusi Raja dan berkata proses Perlembagaan berkaitan perkara itu telah berjalan dengan sempurna.

Beliau turut mencabar Loke dan DAP supaya keluar daripada Jemaah Menteri serta-merta sekiranya benar-benar berpegang kepada pendirian untuk membantah isu tahanan rumah Najib.

“Kalau DAP benar-benar berprinsip dan membantah isu tahanan rumah tersebut, keluarlah daripada Jemaah Menteri serta-merta hari ini juga. Semua sekali letak jawatan tanpa syarat,” katanya.

Wan Saiful berkata tindakan sebaliknya hanya akan menjadi “drama bersiri episod demi episod” untuk memenuhi tuntutan akar umbi parti sambil terus mengekalkan kedudukan dalam kerajaan.

“Cukuplah memperbodohkan rakyat dengan teater politik kelas belakang!” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share