Marhamah Nafi Terlibat New Age Movement

KUALA LUMPUR | 29 Sep 26 – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Puan Marhamah Rosli menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penyebaran atau pengamalan unsur New Age Movement (NAM).

Dalam kenyataan media bertarikh 28 September 2026, Marhamah berkata beliau mengambil serius kebimbangan masyarakat berhubung dakwaan tersebut dan menegaskan pendiriannya untuk menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bercanggah dengan syarak serta prinsip akidah Islam.

“Saya berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak pernah meninggalkan pegangan tersebut. Saya juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya menganut, mengamalkan atau menyebarkan NAM atau mana-mana ajaran yang bercanggah dengan akidah dan Syariat Islam,” katanya.

Menurut Marhamah, susulan isu berkenaan, beliau telah mengadakan pertemuan bagi mendapatkan penjelasan dan pandangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata berdasarkan pertemuan dan penjelasan yang diberikan, tiada pertikaian berhubung akidahnya serta tiada keterlibatan dengan NAM.

Katanya, nasihat yang diterima berkaitan beberapa hantaran lama yang memerlukan penjelasan, khususnya berhubung perkongsian kandungan, penglibatan dengan individu tertentu serta penggunaan beberapa istilah yang kemudiannya dikaitkan dengan NAM.

Marhamah turut menjelaskan hubungannya dengan beberapa individu yang turut dikaitkan dengannya, termasuk Umar Paranorms, Afnan Rosli dan Ustaz Nasrullah.

Berhubung Umar Paranorms, Marhamah berkata beliau tidak mempunyai sebarang hubungan peribadi, hubungan perguruan atau kerjasama dengannya berkaitan apa-apa ajaran atau fahaman.

Beliau mengakui pernah berkongsi satu hantaran Umar Paranorms pada 2019 dalam konteks pembangunan diri, namun ketika itu tidak mengetahui bahawa kandungan atau istilah tertentu yang digunakan kemudiannya dikaitkan dengan unsur NAM.

“Saya berlepas diri dan menolak sebarang amalan, ajaran atau fahaman yang bercanggah dengan akidah dan Syariat Islam yang dikaitkan dengan beliau,” katanya.

Mengenai Afnan Rosli pula, Marhamah berkata beliau pernah menghadiri sebuah program terbuka Afnan sebagai peserta bagi tujuan mendapatkan ilmu berkaitan pembangunan diri.

“Hubungan saya dengan Afnan Rosli terhad setakat itu sahaja. Pada ketika itu, saya tidak mengetahui bahawa kandungan atau istilah tertentu yang digunakan kemudiannya dikaitkan dengan unsur NAM,” katanya.

Sementara itu, Marhamah menjelaskan pertemuannya dengan Ustaz Nasrullah pula hanya berkaitan urusan promosi sebuah filem dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan NAM.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang urusan atau interaksi dengan individu yang kemudiannya dikaitkan dengan NAM tidak dengan sendirinya mencerminkan pegangan atau penglibatannya.

Marhamah mengakui terdapat beberapa istilah yang pernah digunakannya pada masa lalu dalam konteks pembangunan diri tanpa mengetahui istilah berkenaan kemudiannya akan dikaitkan dengan NAM.

“Selain itu, istilah-istilah berkenaan tidak lagi saya gunakan,” katanya.

Sebagai Timbalan Menteri yang diberikan amanah dalam portfolio Hal Ehwal Agama, Marhamah berkata beliau menerima setiap teguran dan nasihat dengan terbuka serta akan memastikan penyampaian dan pendekatannya berpandukan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah selain merujuk pihak berautoriti dalam hal berkaitan agama.

“Pada masa yang sama, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa saya tidak terlibat dengan New Age Movement dan kekal berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Marhamah pada masa sama memohon maaf atas sebarang kekeliruan dan kegusaran yang timbul daripada hantaran atau penggunaan istilahnya pada masa lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share