
KUALA LUMPUR, 16 Jul 25 – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) menggesa kerajaan menangguhkan serta-merta pelaksanaan skim Rakan Kementerian Kesihatan (KKM).
Presidennya Dr Armin Baniaz Pahamin menegaskan, kajian semula yang menyeluruh, bebas dan telus terhadap kesan jangka panjangnya terhadap keadilan, akses dan integriti sistem kesihatan negara perlu dilakukan.
Dakwanya, skim Rakan KKM adalah “dasar songsang” dan berisiko tinggi selain membuka jalan kepada penswastaan senyap sistem kesihatan awam.
Menurutnya kesihatan bukanlah kemewahan sebaliknya merupakan hak rakyat dengan program rintis Rakan KKM yang membenarkan pesakit membayar untuk mendapat akses rawatan lebih cepat di hospital kerajaan merupakan pengkhianatan terhadap prinsip asas kesihatan sejagat.
Tegasnya, rawatan seharusnya diberikan mengikut keperluan perubatan, sebaliknya bukan kemampuan kewangan.
“Pelaksanaan skim ini menandakan satu peralihan yang membimbangkan daripada model perkhidmatan awam berasaskan hak kepada model pasaran yang mengutamakan kelebihan kewangan.
“Rakan KKM bukan reformasi. Ia adalah penswastaan yang diselindungkan di sebalik bahasa kemajuan. Ia menjual keutamaan dalam sistem yang sepatutnya melindungi golongan paling terpinggir, bukan mereka yang paling kaya.
“GEM menegaskan bahawa sistem kesihatan awam yang adil dan berkesan harus sentiasa meletakkan keutamaan klinikal melebihi pertimbangan komersial,” kata Armin dalam kenyataan, hari ini.
Rakan KKM katanya dikhuatiri boleh menjadi permulaan kepada pengkomersialan sistem kesihatan.
Tegasnya, inisiatif itu akhirnya akan meminggirkan komuniti yang paling memerlukan perlindungan khususnya golongan marhaen.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini menafikan Rakan KKM satu bentuk penswastaan, sebaliknya merupakan usaha transformasi untuk memperbaiki akses terhadap prosedur perubatan elektif kemudahan kesihatan awam.
Melalui inisiatif Rakan KKM, kementerian katanya dapat memanfaatkan kepakaran sedia ada serta kapasiti dalam kemudahan kesihatan awam untuk menawarkan pilihan kepada pesakit bagi mendapatkan rawatan elektif dengan lebih cepat melalui inisiatif ini.
Jelasnya lagi, program ini tidak melibatkan sebarang pembiayaan swasta, sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang yakin terhadap keupayaan sistem kesihatan awam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.