
KUALA LUMPUR, 30 APR 25 – Malaysia berisiko dikenakan peningkatan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) sekiranya dianggap sebagai negara perantara dalam hubungan perdagangan dengan China, kata pakar.
Prof Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Center for Policy Research and International Studies (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, dalam ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan, produk eksport negara seperti kelapa sawit dan elektronik dijangka menerima kesan daripada itu.
“Malaysia mengalami ketidaktentuan dalam pasaran eksport, terutamanya ke China dan AS, walaupun terdapat peluang baharu, permintaan untuk produk eksport tertentu seperti kelapa sawit dan komponen elektronik menjadi lebih tidak menentu akibat kesan perang perdagangan.
“Malaysia, sebagai negara yang terlibat dalam perdagangan dengan China, menghadapi risiko peningkatan tarif oleh AS jika negara ini dianggap sebagai negara perantara atau ‘transshipment’ untuk produk China, yang meningkatkan kos bagi eksport Malaysia,” katanya, kepada politiko.my.
Selain itu katanya, tarif yang tinggi menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan global, mengakibatkan beberapa sektor di Malaysia terjejas kerana bahan mentah dan komponen yang diimport menjadi lebih mahal.
Sementara itu, Prof. Dr. Fatimah Kari dari Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaya berpandangan, Malaysia perlu bergerak ke arah dagangan multi lateral atau bilateral yang lebih langsung menerusi Asean dan rakan dagangan di pasaran baru.
“Ini hanya boleh dilakukan jika Malaysia berani menggunakan matawang yang tidak ada kaitan dengan kedudukan Dolar Amerika.
“Adakah Malaysia hanya menumpu perhatian kepada kadar Tariff Trump atau melihat isu tariff ini dalam konteks yang lebih besar, kerajaan belum begitu jelas atau membuat sebarang perakuan ke atas perkara tersebut,” katanya.
Jelasnya, trend perdagangan dunia bakal berubah sekiranya kadar tahap tarif terus dikekalkan selepas tempoh 90 hari yang diumumkan sebelum ini.
Prof Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Felo Akademi Sains Malaysia pula berkata, dalam keadaan semasa, Menteri Pelaburan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Tengku Zafrul Aziz dilihat watak sesuai membawa hasrat Malaysia dalam rundingan bersama AS berkaitan tarif.
“Harap beliau berjaya, saya rasa dalam zaman tarif Trump ni Tengku Zafrul orang yang paling layak jadi duta Malaysia ke USA,” katanya. @politiko.my