Tarif AS: Pembangkang dakwa kerajaan lambat bertindak

KUALA LUMPUR, 5 MEI 25 – Kerajaan didakwa lambat bertindak susulan pengumuman kadar tarif 24% yang dikenakan terhadap eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), dakwa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ahli Parlimen Machang itu mendakwa kerajaan dilihat masih berada dalam zon selesa meskipun berhadapan serangan ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Tapi di Malaysia? Tiada satu pun dalam ucapan perdana menteri yang menyebut ini sebagai krisis nasional. Tiada amaran. Tiada kesedaran awam. Tiada pengisytiharan darurat ekonomi.

“Sedangkan seluruh sistem eksport kita, khususnya dalam sektor elektrik & elektronik yang menyumbang 60% eksport ke AS kini berada dalam kedudukan paling terdedah,” katanya ketika perbahasan Dewan Rakyat bersempena sidang khas berkait tarif timbal balas AS.

Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Malaysia tidak secekap menghadapi krisis perang dagang berbanding Singapura yang menurutnya mengambil langkah proaktif.

“Malaysia tidak boleh lagi mengurus negara ini dengan pendekatan ‘business-as-usual’. Apa yang kita perlukan hari ini adalah kerajaan yang mempunyai mentaliti perang – bukan sekadar mentaliti rundingan.

“Kenapa lambat bertindak, kenapa kerajaan lalai selama ini?,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rundingan dengan AS bukan jaminan Malaysia tidak terkesan dengan kenaikan tarif.

“Kerajaan seolah-olah terlalu percaya rundingan dengan AS akan menyelesaikan semuanya. Sejarah menunjukkan rundingan dengan Trump tidak pernah berjalan tanpa tekanan,” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share