
KUALA LUMPUR, 31 Mei 25- Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan segera terhadap penganjuran program mempromosikan budaya lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoal identiti seksual diri (LGBTQ).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata polis perlu segera menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap program sedemikian.
“Saya memandang serius laporan berkenaan penganjuran program bertemakan Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness yang didakwa bertujuan meraikan Pride Month, seperti yang tular melalui platform media sosial baru-baru ini.
“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan Malaysia menolak sebarang bentuk naturalisasi budaya LGBTQ secara halus atau terbuka,” katanya, dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Na’im menegaskan, sebarang usaha menormalisasikan gaya hidup songsang adalah bertentangan dengan asas Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan dasar rasmi kerajaan.
Ia berikutan Malaysia sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan turut berpegang kepada nilai budaya Timur yang luhur.
“Tindakan penganjuran program sebegini walaupun bersifat tertutup, jelas mencabar norma masyarakat serta nilai agama yang dianuti majoriti rakyat Malaysia,” katanya.
Na’im turut menggesa penganjur menghentikan sebarang aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang negara dan nilai moral masyarakat.
Pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) perlu bersedia memainkan peranan penguatkuasaan khususnya jika melibatkan penyertaan umat Islam.
“Pada masa sama, saya menyeru kepada semua pihak untuk bersama mempertahankan struktur sosial dan moral masyarakat daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah, akhlak serta keharmonian negara. @politiko.my