Tenaga Bukan Hanya Soal Bil, Tapi Kedaulatan Negara

Kenaikan bil elektrik yang dirasai sebahagian rakyat perlu dilihat lebih jauh daripada persoalan “siapa yang menaikkan tarif?”.

Struktur tarif elektrik Semenanjung selepas 1 Julai 2025 sebenarnya mengandungi tarif asas dan mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) yang berubah mengikut kos bahan api serta kos penjanaan sebenar.

Dalam keadaan cuaca panas, penggunaan elektrik isi rumah turut meningkat apabila penghawa dingin dan peralatan penyejukan digunakan lebih lama.

Maka, bil yang meningkat boleh terhasil daripada gabungan jumlah penggunaan, struktur kadar, threshold penggunaan dan AFA, bukannya semata-mata satu kenaikan tarif.

Dalam konteks semasa, keputusan kerajaan memperluaskan perlindungan subsidi daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan bagi penggunaan September hingga Disember 2026 merupakan langkah mitigasi jangka pendek untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Namun, pada pandangan saya, subsidi tidak boleh menjadi satu-satunya jawapan. Kuasa Nasional bermaksud negara mempunyai keupayaan mengawal faktor-faktor strategik yang menentukan kos tenaga; daripada sumber bahan api, kapasiti penjanaan dan grid, sehinggalah teknologi serta kecekapan penggunaan.

Jika kos tenaga global berubah, Malaysia perlu mempunyai daya tahan yang cukup supaya setiap turun naik pasaran antarabangsa tidak terus diterjemahkan menjadi tekanan kepada keluarga dan industri.

Untuk jangka pendek, kerajaan perlu memperkukuh mekanisme perlindungan pengguna secara lebih bersasar dan telus.

Antaranya ialah memastikan isi rumah yang terkesan akibat cuaca ekstrem atau lonjakan penggunaan sementara mempunyai jaringan perlindungan yang munasabah, memperkemas komunikasi bil supaya pengguna benar-benar memahami komponen seperti AFA, peak/off-peak dan threshold penggunaan, serta memperluaskan pendidikan kecekapan tenaga.

Pada masa yang sama, TNB dan pihak berkuasa perlu memastikan pengguna boleh melihat dengan jelas bagaimana sesuatu bil terbentuk.

Ini penting kerana literasi tenaga rakyat juga sebahagian daripada kuasa nasional, rakyat yang memahami sistem dapat membuat keputusan penggunaan yang lebih bijak, bukannya sekadar menerima jumlah bil di penghujung bulan.

Untuk jangka panjang pula, Malaysia perlu beralih daripada pendekatan “mengurus bil” kepada “membina ekosistem tenaga yang lebih berdaya tahan”.

Negara perlu mempercepat pelaburan dalam tenaga boleh baharu terutamanya tenaga nuklear, penyimpanan tenaga, grid pintar, kecekapan tenaga, teknologi penyejukan cekap tenaga serta pembangunan industri tempatan yang mampu menghasilkan teknologi tenaga sendiri.

Pada masa yang sama, kepelbagaian sumber tenaga dan pengukuhan rantaian bekalan domestik perlu menjadi agenda strategik. Kerangka Insentif Berasaskan Prestasi (IBR) sendiri meletakkan kecekapan kos, prestasi teknikal dan perkongsian kecekapan antara utiliti dengan pengguna sebagai elemen penting dalam kawal selia elektrik.

Akhirnya, tenaga bukan sekadar komoditi, tenaga ialah kuasa nasional. Negara yang bergantung terlalu besar kepada faktor luaran untuk memastikan lampu menyala, kilang beroperasi dan ekonomi bergerak akan mempunyai ruang strategik yang lebih sempit.

Sebaliknya, Malaysia perlu membina ekosistem tenaga yang mampu memberi harga yang berpatutan kepada rakyat, bekalan yang stabil kepada industri dan daya tahan kepada negara.

Subsidi hari ini boleh menjadi penyelesaian sementara, tetapi pelaburan dalam teknologi, sumber tenaga, kecekapan dan keupayaan nasional ialah penyelesaian generasi. Kita mahukan Malaysia yang bukan sahaja mampu menghasilkan tenaga, tetapi mampu menentukan masa depan tenaganya sendiri.

Ir. Ts. Hj. Mohd Khoushaini Hj. Mohd Naim, Ahli Majlis Tertinggi Wawasan Negara

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Tan Sri Muhyiddin Yasin Punca Penyatuan Ummah Tidak Tercapai

Saya berpendapat bahawa Tan Sri Muhyiddin sebenarnya tidak mampu, malah mungkin juga tidak benar-benar mahu melihat penyatuan ini berlaku. Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, tidak kelihatan satu pun usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kerjasama yang baik antara tiga parti besar orang Melayu iaitu Bersatu, PAS dan UMNO.
Read More

Reset Untuk Membina Semula Bangsa

Reset memerlukan pencarian roh. Dari satu segi, ia perlu berasaskan nilai, contohnya, kebenaran, keadilan dan kesaksamaan, bukannya kepalsuan, kezaliman dan pengasingan. Ini harus difokus, terutamanya kerana kita sedang hidup dalam ‘zaman fitnah’.
Read More
Total
0
Share