
JAKARTA, 30 Ogos – Gelombang protes besar-besaran terus menggoncang ibu kota Indonesia, Jakarta, apabila ribuan pelajar, pekerja penghantaran dan rakyat biasa turun ke jalan membantah kemewahan ahli parlimen serta keganasan polis.
Kemarahan awam tercetus susulan pendedahan bahawa 580 anggota Dewan Perwakilan Rakyat menerima elaun perumahan sehingga 50 juta rupiah sebulan, hampir sepuluh kali ganda gaji minimum di Jakarta.
Kemarahan itu memuncak apabila keadaan ekonomi rakyat yang terhimpit dengan kos sara hidup tinggi, kadar pengangguran yang membimbangkan serta pemotongan bajet pendidikan dan perkhidmatan awam.
“Rakyat disuruh berkorban, tapi wakil rakyat hidup mewah,” laung seorang penunjuk perasaan mahasiswa Universiti Indonesia kata sumber.
Ketegangan semakin memuncak selepas insiden tragis apabila seorang pemandu ojek, Affan Kurniawan, 21 tahun, maut digilis kenderaan perisai polis semasa demonstrasi.
Rakaman video kejadian itu tular di media sosial, sekali gus mencetuskan gelombang solidariti baharu daripada komuniti pekerja penghantaran yang berikrar untuk terus turun ke jalan.
Presiden Joko Widodo Prabowo Subianto menyatakan kesal atas insiden itu, manakala Ketua Polis Jakarta telah memohon maaf dan berjanji menyiasat kru kenderaan berkenaan.
Protes yang bermula dengan suara pelajar kini merebak kepada masyarakat umum, menandakan kemarahan rakyat terhadap ketidaksamaan sosial dan keistimewaan elit politik semakin sukar dibendung.
Pasaran saham dan nilai rupiah turut merosot ekoran kebimbangan pelabur terhadap ketidakstabilan politik. Pemerhati menyifatkan krisis ini sebagai ujian besar kepada pentadbiran Prabowo dalam mengimbangi tuntutan rakyat dengan cabaran ekonomi yang kian mendesak. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.