Tidak Berminat Teruskan, Saifuddin Abdullah Tarik Balik Rayuan Keputusan LD BERSATU

KUALA LUMPUR | 16 Feb 26 – Selepas Datuk Wan Saiful, mantan Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Saifuddin Abdullah, secara rasmi menarik balik rayuannya terhadap keputusan Lembaga Disiplin parti itu.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi sepucuk surat bertarikh 16 Februari 2026 yang dialamatkan kepada Pengerusi Lembaga Rayuan BERSATU, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Dalam surat berkenaan, Saifuddin merujuk kepada rayuan yang telah dikemukakan sebelum ini, termasuk surat bertarikh 16 Januari 2026 dan 10 Februari 2026, serta kehadirannya dalam sesi pertemuan bersama Lembaga Rayuan pada 10 Februari lalu berhubung keputusan yang dibuat terhadapnya oleh Lembaga Disiplin parti.

“Sehubungan dengan itu, saya dengan secara rasmi menyatakan hasrat dan keputusan saya menarik balik rayuan tersebut berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam surat berkenaan.

Beliau turut memohon agar Lembaga Rayuan mengambil maklum penarikan itu dan menghentikan segala prosiding atau pertimbangan lanjut berkaitan rayuannya.

Dalam masa sama, Saifuddin merakamkan penghargaan kepada Lembaga Rayuan atas perhatian dan pertimbangan yang telah diberikan sepanjang proses tersebut.

Langkah menarik balik rayuan ini sekali gus menamatkan proses semakan dalaman terhadap tindakan disiplin yang dikenakan ke atas beliau, ketika parti berkenaan terus berdepan episod pergolakan dalaman melibatkan beberapa pemimpin utamanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share