Tiga Isu, Satu Masalah: Adakah Ini Kegagalan MOT?

Oleh : Zul Arif

Tiga insiden besar dalam sektor pengangkutan gangguan Aerotrain KLIA, kebocoran di terminal lapangan terbang, dan siri kegagalan perkhidmatan KL Monorel menimbulkan persoalan serius terhadap keupayaan Kementerian Pengangkutan (MOT) memastikan integriti, keselamatan dan reputasi sistem pengangkutan negara.

Dalam tempoh beberapa bulan, ketiga-tiga isu ini bukan sahaja mencetuskan kegelisahan awam, malah mencalar imej Malaysia sebagai hab pengangkutan serantau ke dalam perdebatan mengenai ketidakcekapan, kecuaian dan kelemahan pengawasan.

Isu Aerotrain KLIA menjadi simbol paling jelas kegagalan pengurusan projek mega. Walaupun baru dilancarkan semula selepas projek naik taraf bernilai RM456 juta, perkhidmatan itu mengalami lebih 20 gangguan sejak Julai lalu.

Daripada terowong ditenggelami air akibat pam saliran gagal berfungsi hingga masalah pintu kereta yang menyebabkan tren terhenti, gangguan ini menimbulkan persoalan keras: bagaimana sebuah projek ratusan juta ringgit masih tidak mampu beroperasi secara konsisten?

Lebih membimbangkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini telah diberi laluan menyiasat projek tersebut. Ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi petanda kemungkinan wujudnya kelemahan serius dalam tender, pelaksanaan atau pengawasan – semuanya di bawah tanggungjawab MOT.

Beberapa episod kebocoran air di KLIA pula menambahkan lagi persepsi bahawa infrastruktur utama negara berada dalam keadaan lemah. Kebocoran di bumbung utama terminal menunjukkan bahawa standard penyenggaraan dan kawalan kualiti telah gagal dikawal dengan baik.

Di negara lain, lapangan terbang antarabangsa ialah simbol ketepatan dan profesionalisme. Di Malaysia, kebocoran bumbung KLIA menjadi bahan tular, ibarat metafora kepada “kebocoran integriti dan pengurusan” yang semakin jelas.

Hakikatnya, setiap kebocoran adalah isyarat kecuaian kontraktor, dan kecuaian itu berlaku di bawah radar kementerian yang seharusnya mengawasi standard keselamatan dan kualiti.

Terkini, KL Monorel, ikon pengangkutan bandar Kuala Lumpur, terus berdepan masalah keselamatan dan operasi. Masalah teknikal yang berulang-ulang telah mengganggu kelancaran perkhidmatan dan menjadikan ianya tidak efisien.

Monorel sepatutnya menjadi tulang belakang mobiliti bandar, tetapi kini menjadi simbol penyelenggaraan minimum dan kegagalan menaik taraf aset yang sudah uzur.

Dibalik isu-isu teknikal ini, satu persoalan mahu kita tanyakan, apakah MOT benar-benar memantau keadaan perkhidmatan dan keselamatan sistem pengangkutan awam?

Ketiga-tiga isu ini — Aerotrain KLIA yang bermasalah, kebocoran KLIA yang memalukan, serta Monorel yang kian merosot — bukan kebetulan. Ia menggambarkan pola kegagalan kepimpinan dan penyeliaan di peringkat kementerian.

Dengan reputasi KLIA tercemar, pengangkutan bandar semakin rapuh, dan projek mega dipertikai keberkesanannya, Menteri Pengangkutan perlu bertanggungjawab. Jawapan retorik tentang “insiden kecil” atau “sistem keselamatan berfungsi seperti sepatutnya” malah mendedahkan nama kontraktor yang gagal, sudah tidak mencukupi.

Malaysia tidak perlukan alasan. Malaysia perlukan kepimpinan yang mampu mengurus, menyelia, dan memperbaiki, bukan menunggu insiden demi insiden untuk bertindak.

Zulkifli Arif – Seorang pembaca tegar politiko.my

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share