Tragedi Pokok Tumbang: Ketua Pembangkang Selar Kegagalan Kerajaan Urus Risiko

MELAKA, 7 DIS 25 — Ketua Pembangkang DUN Melaka, YB Dr Mohd Yadzil Yaakub, menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi pokok tumbang yang mengorbankan seorang penunggang p-hailing semalam, pada masa sama beliau mengecam kegagalan berulang kerajaan negeri menangani isu pokok berisiko tumbang.

Beliau menegaskan kejadian sebegini bukan baharu di Melaka dan telah bertahun-tahun menyebabkan kecederaan, kerosakan harta serta kehilangan nyawa.

“ Bulan Ogos tahun ini, pasangan adik beradik yang menunggang motorsikal terbabit dalam kemalangan melibatkan pokok tumbang di Lebuh AMJ sekitar Kandang. Seorang penunggang maut, dan adiknya cedera parah.

“Lebih menyedihkan, kerajaan negeri pernah menubuhkan Jawatankuasa Cantasan Pokok dengan penuh gah — namun hasilnya? Katanya.

Yadzil turut mempersoalkan keberkesanan Jawatankuasa Cantasan Pokok yang pernah diumumkan kerajaan negeri, tetapi hasilnya tidak kelihatan, sehingga wujud persoalan sama ada jawatankuasa itu benar-benar berfungsi atau hanya wujud di atas kertas.

Menurutnya, alasan “cuaca buruk” bukan lagi memadai kerana laporan arborikultur menunjukkan punca utama ialah sistem akar yang rosak akibat pembangunan, lokasi penanaman yang tidak sesuai, penilaian pokok yang tidak menyeluruh serta cantasan yang tidak mengikut piawaian profesional.

Beliau berkata kejadian semalam berlaku sewaktu cuaca baik, sekaligus mengesahkan faktor kelemahan pengurusan lebih dominan.

“Kerajaan negeri mesti melaksanakan audit menyeluruh ke atas semua pokok besar di kawasan berisiko seperti jalan utama, sekolah, pusat bandar, kawasan warisan dan taman perumahan, selain mengambil tindakan tanpa pilih kasih terhadap pokok bahaya milik mana-mana pihak. Ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa laporan Jawatankuasa Cantasan Pokok perlu didedahkan kepada umum bagi membuktikan keberkesanannya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share