
KUALA LUMPUR | 20 Ogos 26 – Malaysia tidak perlu memihak kepada China atau Taiwan dalam pertikaian kedua-dua pihak, sebaliknya mesti meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan, kata ADUN Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah.
Beliau berkata, pendirian Malaysia terhadap dasar Satu China tidak seharusnya diterjemahkan sebagai keperluan untuk memberikan pandangan mengenai kewajaran China menggunakan kekerasan terhadap Taiwan.
Kenyataan itu secara tidak langsung mengkritik pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung isu China-Taiwan yang menurut Haim Hilman merupakan satu risiko diplomatik yang tidak perlu diambil Malaysia.
“Malaysia tidak perlu menjadi pro-China. Malaysia juga tidak perlu menjadi pro-Taiwan. Malaysia perlu menjadi pro-Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Haim Hilman, Malaysia sememangnya mempunyai dasar yang jelas mengenai One China Policy yang telah menjadi asas hubungan diplomatik dengan Beijing sejak sekian lama.
Namun katanya, mengiktiraf dasar Satu China tidak bermakna Malaysia perlu menentukan atau memberikan legitimasi terhadap kemungkinan penggunaan kekerasan dalam usaha penyatuan Taiwan.
“Persoalan sama ada China berhak menggunakan kekerasan terhadap Taiwan adalah persoalan yang amat sensitif, melibatkan sejarah, kedaulatan, keselamatan serantau dan hubungan antara Beijing dengan Taipei.
“Malaysia tidak mempunyai kepentingan untuk menjadi hakim kepada pertikaian tersebut, apatah lagi memberikan legitimasi moral terhadap kemungkinan penggunaan kekerasan,” katanya.
Haim Hilman berkata, pendirian Malaysia sepatutnya kekal mudah dan konsisten, iaitu menghormati dasar Satu China, menggalakkan keamanan serta dialog dan menolak tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di rantau ini.
Beliau turut mempersoalkan konsistensi dasar luar kerajaan apabila Malaysia sebelum ini menegaskan bahawa negara mengamalkan dasar luar yang bebas dan tidak berpihak serta mengutamakan penyelesaian pertikaian secara aman melalui diplomasi dan undang-undang antarabangsa.
“Sebab itu kenyataan mengenai Taiwan menimbulkan persoalan besar tentang konsistensi dasar luar Malaysia,” katanya.
Menurutnya, Malaysia ialah sebuah negara perdagangan dan bukan kuasa besar ketenteraan yang mempunyai kepentingan untuk terheret ke dalam persaingan geopolitik kuasa-kuasa besar.
Katanya, China merupakan antara rakan ekonomi terpenting Malaysia, manakala Taiwan pula mempunyai hubungan ekonomi, perdagangan, pelaburan dan teknologi yang penting dengan negara, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik serta semikonduktor.
“Justeru, kepentingan Malaysia bukan memilih Beijing atau Taipei. Kepentingan Malaysia ialah memastikan kita boleh terus berurusan dengan kedua-duanya,” katanya.
Haim Hilman berkata, Malaysia mempunyai ruang diplomatik yang selesa untuk terus menghormati dasar Satu China sambil mengekalkan hubungan perdagangan dan ekonomi yang pragmatik dengan Taiwan.
Katanya, pendekatan tersebut telah dilakukan Malaysia selama puluhan tahun tanpa perlu memberikan pendirian mengenai kewajaran penggunaan kekerasan dalam konflik berkenaan.
“Diplomasi yang matang bukan tentang siapa paling lantang memberikan pandangan terhadap konflik negara lain.
“Diplomasi adalah kebijaksanaan mengetahui bila perlu bersuara, apa yang perlu dikatakan dan bila sesuatu perkara lebih baik tidak dikomentari,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa reaksi Taipei terhadap kenyataan berhubung isu berkenaan menunjukkan setiap kenyataan Perdana Menteri mempunyai implikasi diplomatik.
Menurutnya, satu kenyataan yang tidak perlu boleh mencetuskan ketegangan yang mengambil masa bertahun-tahun untuk diperbaiki.
Haim Hilman berkata, perkara itu lebih penting ketika Malaysia sedang berusaha menarik pelaburan berteknologi tinggi, membangunkan industri semikonduktor dan memperkukuh kedudukan dalam rantaian bekalan global.
“Dasar luar kita sepatutnya membuka lebih banyak pintu ekonomi kepada Malaysia, bukannya mencipta risiko baharu yang tidak diperlukan,” katanya.
Beliau menegaskan Malaysia tidak memperoleh manfaat dengan memilih Beijing atau Taipei, sebaliknya perlu mengekalkan hubungan dengan semua kuasa ekonomi utama berdasarkan kepentingan nasional.
“Kita berkawan dengan China. Kita berdagang dengan Taiwan. Kita berurusan dengan Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Korea Selatan, ASEAN dan seluruh dunia berdasarkan kepentingan negara.
“Itulah kekuatan sebuah negara perdagangan yang bebas dan berkecuali,” katanya.
Haim Hilman berkata, dalam isu sensitif seperti hubungan China-Taiwan, tanggungjawab Perdana Menteri bukan untuk menentukan pihak mana berhak menggunakan kekerasan terhadap pihak lain, tetapi memastikan setiap kenyataan yang dikeluarkan melindungi kepentingan ekonomi, keselamatan dan hubungan antarabangsa Malaysia.
“Kita tidak memperoleh apa-apa dengan mencampuri pertikaian ini. Sebaliknya, kita berisiko kehilangan ruang diplomatik yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia.
“Dalam diplomasi, keberanian bukan diukur melalui keberanian membuat kenyataan. Kadangkala kebijaksanaan terbesar ialah mengetahui kenyataan yang tidak perlu dibuat,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia telah mengambil risiko diplomatik yang sebenarnya boleh dielakkan menerusi kenyataan mengenai konflik China-Taiwan itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.