
KUALA LUMPUR | 20 Ogos 26 -Parti Wawasan Negara mempersoalkan cadangan kerajaan untuk meneliti sistem percukaian baharu yang menggabungkan elemen Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ketua Penerangan Nasional Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci bentuk sistem hibrid berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurutnya, kerajaan pada Januari lalu masih menegaskan GST tidak akan dikembalikan dan SST akan dikekalkan, namun kini bercakap mengenai kemungkinan menggabungkan kedua-dua sistem tersebut.
Beliau berkata perubahan dasar percukaian sebesar itu tidak seharusnya dibuat secara percubaan kerana kesannya akan ditanggung pengguna dan dunia perniagaan.
“Peniaga perlukan kepastian, bukan eksperimen fiskal,” katanya dalam kenyataan media.
Wan Ahmad Fayhsal berkata kerajaan perlu menjelaskan antara lain kadar cukai, skop barangan dan perkhidmatan, ambang pendaftaran serta mekanisme kredit cukai input sekiranya elemen GST mahu digabungkan dengan SST.
Katanya, kerajaan juga perlu membentangkan kajian mengenai kesan dan kos pematuhan kepada perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata sebarang perubahan sistem cukai berpotensi meningkatkan kos operasi perniagaan melalui keperluan menukar sistem perakaunan, latihan kakitangan serta penyusunan semula proses invois dan tuntutan.
Menurutnya, peningkatan kos tersebut akhirnya berpotensi dipindahkan kepada pengguna melalui harga barangan dan perkhidmatan.
Wan Ahmad Fayhsal turut meminta kerajaan menjelaskan jumlah hasil tambahan yang dijangka diperoleh, kos kepada PKS serta kesannya terhadap inflasi dan kos sara hidup.
“Jika kerajaan benar-benar mahu memperkenalkan sistem hibrid SST-GST, terangkan sistemnya, nyatakan kadarnya dan bentangkan kajian impaknya,” katanya.
Beliau berkata rakyat memerlukan kestabilan dasar dan kepastian mengenai kadar cukai, bukannya perubahan sistem yang boleh menambahkan beban kos sara hidup.
Pada 18 Ogos, Anwar berkata kerajaan terbuka untuk mengkaji penggabungan elemen GST dengan SST, tetapi SST kekal sebagai asas sistem percukaian. Beliau menolak GST dalam bentuk cukai yang terlalu meluas kerana bimbang membebankan rakyat dalam keadaan kos sara hidup sekarang.
Sususlan itu, media melaporkan pada 19 Ogos, Anwar mengarahkan Kementerian Kewangan membuat kajian menyeluruh mengenai cadangan sistem hibrid itu. Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, diberi masa menyediakan laporan sebelum dibawa semula ke Kabinet. Kerajaan menegaskan cadangan itu masih di peringkat awal dan belum ada tempoh ditetapkan untuk kajian atau keputusan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.