
KUALA LUMPUR | 10 Jan 26 – Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan stabil dan beliau kini masih meneruskan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) bagi pemulihan tulang pinggul yang patah akibat terjatuh di kediamannya di The Mines pada 6 Januari lalu.
Menurut siaran media Pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad, keputusan rawatan dibuat selepas perbincangan bersama doktor-doktor pakar daripada IJN, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Rawatan fisioterapi tanpa pembedahan diputuskan sebagai pilihan terbaik bagi Tun Dr Mahathir, dengan mengambil kira faktor usia beliau.
Siaran media itu turut memaklumkan bahawa proses pemulihan dijangka mengambil masa yang agak lama.
Dalam pada itu, Tun Dr Mahathir dan keluarga merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua pihak atas keprihatinan dan doa yang berterusan terhadap kesihatan serta kesejahteraan beliau.
Buat masa ini, Tun Dr Mahathir tidak dibenarkan menerima pelawat kecuali ahli keluarga terdekat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.