
KUALA LUMPUR, 5 Jul 25 – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir pengumuman pelaburan yang bakal diterima masuk ke dalam negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, disebalik berbilion ringgit pengumuman pelaburan langsung asing (FDI) oleh Anwar, bukti pelaburan tersebut bagaimanapun tidak dapat dilihat.
“Kini Itali ‘bakal melabur RM8.13 bilion di Malaysia’. Bagus! Tunggu pula Perancis dan Brazil? Lagi berbilion-bilion. Bapa FDI beraksi lagi. Sudah RM680 bilion telah masuk.
“Anda tak dapat lihat kerana kilangnya tidak kelihatan,” kata Dr Mahathir, dalam hantaran media sosialnya.
Beliau dipercayai merujuk laporan kenyataan Anwar yang mengumumkan Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan sebanyak RM8.13 bilion dalam lawatannya ke Itali, baru-baru ini.
Anwar berkata, pelaburan tersebut adalah bagi sektor petrokimia, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik serta perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas.
Dr Mahathir bagaimanapun dengan nada sinis berkata disebalik pengumuman Anwar, rakyat tetap dibebani cukai.
“Kita mahu lebih banyak lawatan ke luar negara supaya lebih banyak FDI tidak kelihatan akan datang. Sementara itu Mahakaya kena bayar cukai. Bukan Mahamiskin.
“Entah macam mana, secara tidak langsung yang miskin juga merana,” katanya.
Anwar sebelum ini mengadakan lawatan rasmi ke Itali dan Perancis. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.