
KUALA LUMPUR, 8 Jun 25 – Alasan operator baharu Menara Kuala Lumpur, LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM), menutup ruang penyimpanan Kapsul Masa Wawasan 2020 serta mencabut plak peringatan kononnya atas faktor keselamatan dan ketiadaan kapsul di lokasi tersebut adalah tidak munasabah.
Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) Datuk Abdul Hamid Shaikh menegaskan, sepanjang tiga dekad syarikat itu mengurus menara terbabit, mereka tidak pernah gagal memelihara warisan sejarah negara.
“Syarikat kami telah memelihara nilai sejarah tersebut selama hampir tiga dekad tanpa sebarang isu dan inisiatif ini wajar diteruskan demi kepentingan sejarah dan identiti nasional.
“Justeru, saya secara tegas mendesak agar ruang asal penyimpanan Kapsul Masa Wawasan 2020 dipulihkan sepenuhnya kepada keadaan asal,” katanya, dalam satu kenyataan.
Tambah Abdul Hamid, tindakan LSHSM itu tidak mempunyai justifikasi mahupun hak untuk memadam atau menyembunyikan warisan sejarah negara seolah-olah ia tiada nilai kepada rakyat Malaysia.
“Justifikasi plak berkenaan tidak lagi relevan kerana memaparkan logo korporat lama yang kononnya tidak selari dengan penjenamaan semula Menara Kuala Lumpur tidak dapat diterima dari sudut logik mahupun waras akal.
“Alasan ini adalah tidak kukuh dan bercanggah dengan prinsip pemeliharaan sejarah serta warisan negara,” tegasnya.
Tambahnya, sekiranya terdapat isu teknikal seperti kegagalan menutup ruang tersebut dengan sempurna, LSHSM adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan yang sewajarnya
“Bukan memusnahkan terus kawasan bersejarah tersebut dengan menutupnya menggunakan simen dan menyimpan bahan sejarah negara dalam stor tertutup yang tidak boleh diakses oleh sesiapa,” tambahnya lagi. @politiko.my