Tuntutan Kedah Ada Asas, Nilai Tanah Jadi Asas Bayaran, Kata Mahathir

KUALA LUMPUR, 22 NOV 25 — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan bahawa Kedah masih memiliki asas tuntutan bayaran ke atas Pulau Pinang, namun menegaskan ia tidak bermaksud negeri itu berhak mengambil alih pemerintahan pulau berkenaan.

Dalam sesi Podcast Dr M, beliau berkata pembayaran yang dibuat kerajaan Persekutuan kepada Kedah daripada RM10,000 pada era awal kemerdekaan, kemudian dinaikkan kepada RM10 juta, harus dilihat berdasarkan nilai tanah semasa Pulau Pinang.

Menurutnya, jika isu itu dinilai berasaskan harga tanah, jumlah RM10 juta mungkin tidak lagi relevan.

“Kalau kita nak kira asas tanah… kita nak tahu tanah di Pulau Pinang itu satu ekar berapa. Nampak lebih daripada RM10 juta,” katanya sambil membandingkan kenaikan nilai tanah bandar utama seperti Kuala Lumpur yang kini boleh mencecah RM7,000 sekaki persegi.

Bagaimanapun, Mahathir menolak idea bahawa Kedah patut mentadbir Pulau Pinang, sambil menjelaskan bahawa kedudukan pulau itu sudah berkembang jauh melebihi status daerah.

“Saya punya pendapat bukanlah nak letak Pulau Pinang itu di bawah kerajaan Kedah… Saya tak fikir kerajaan Kedah nak ambil alih,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan mewarisi peranan kerajaan kolonial British dalam menguruskan hubungan pentadbiran antara Kedah dan Pulau Pinang, termasuk soal pembayaran tahunan.

Isu hubungan sejarah Kedah–Pulau Pinang kembali menjadi perbahasan setelah beberapa kenyataan politik baru-baru ini menyentuh soal tuntutan negeri dan hak ke atas wilayah itu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share