
KUALA LUMPUR | 16 Mei 26 — Keputusan kerajaan membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu atau UEC memasuki institusi pengajian tinggi awam kini mencetuskan gelombang kritikan baharu apabila beberapa pakar pendidikan menyifatkannya sebagai keputusan politik yang boleh menggugat asas pendidikan negara.
Pakar bahasa dan pendidikan, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong menyifatkan langkah tersebut sebagai satu keputusan politik yang salah dan berpotensi membuka “pintu lebih besar” kepada tuntutan lain pada masa depan.
Menurut beliau, pengiktirafan laluan UEC ke IPTA dibimbangi akan menjejaskan dasar nasional serta falsafah pendidikan kebangsaan yang selama ini menjadi tunjang sistem pendidikan negara.
Dalam masa sama, pensyarah pendidikan UKM, Dr. Anuar Ahmad pula melontarkan kenyataan lebih keras apabila mencadangkan 15 Mei 2026 diingati sebagai “tarikh rasmi terkuburnya Dasar Pendidikan Kebangsaan”.
Beliau mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh menerima UEC walaupun dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan secara jelas tidak mengiktiraf sijil tersebut.
Ironinya, kenyataan itu muncul sehari sebelum sambutan Hari Guru, sekali gus memberi simbolik bahawa dasar pendidikan negara sedang melalui perubahan besar yang dianggap mencabar identiti sistem pendidikan kebangsaan.
Terdahulu, kerajaan memaklumkan keputusan Kabinet membenarkan lepasan UEC memasuki IPTA dibuat dengan syarat calon perlu lulus Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat SPM.
Bagaimanapun, keputusan tersebut terus menerima tentangan pelbagai pihak yang melihat ia bukan lagi sekadar isu pendidikan, tetapi telah bertukar menjadi pertarungan identiti nasional, dasar bahasa dan hala tuju negara.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan bahawa Kabinet telah meluluskan laluan kemasukan baharu bagi graduan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam.
Beliau berkata semua pelajar, tanpa mengira aliran persekolahan, mesti memenuhi syarat asas lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Perkembangan ini mengundang pelbagai kritikan awam dan sarjana khususnya mengenai tindakan yang dianggap bermotifkan politik. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.