“Pecat Semua Pemimpin, Tukar Nama Jadi ‘Satu’” — Kadir Jasin ‘Sembur’ BERSATU

KUALA LUMPUR | 17 Mei 26 — Wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin melontarkan sindiran tajam terhadap kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila mencadangkan parti itu memecat semua pemimpinnya kecuali seorang dan menukar nama parti kepada “Satu”.

Menurut beliau, cadangan sinis itu dibuat susulan budaya dalaman parti yang didakwa semakin menekan suara kritikal dan tidak lagi terbuka kepada teguran.

“Khusus untuk Bersatu, saya rasa elok pecat semua pemimpin, kecuali seorang dan tukar nama jadi Satu. Dengan itu, tidak ada lagi orang yang akan cabar, lawan atau kritik,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut menyindir bahawa pemimpin yang tinggal itu boleh terus memegang apa sahaja jawatan yang diinginkan tanpa perlu berdepan cabaran dalaman.

“Maka pemimpin yang satu itu pun bolehlah bersenang diri menjadi Presiden atau apa-apa juga jawatan yang dia berahikan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Abdul Kadir mendakwa pihak yang paling aktif dalam Bersatu ketika ini bukan biro politik, ekonomi atau pendidikan, sebaliknya Jawatankuasa Disiplin parti.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada Bersatu sememangnya bermasalah dari sudut disiplin atau kepimpinan parti terlalu sensitif terhadap kritikan.

Beliau turut mengungkit episod kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020 apabila pimpinan Bersatu ketika itu bertindak menentang Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan pengasas parti dan Perdana Menteri ketika itu.

“Bila hendak tebuk atap untuk jatuhkan Dr Mahathir Mohamad dan Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020 boleh pula mereka lawan beliau. Mereka boleh lawan dan jatuhkan orang lain, tapi orang lain nak kritik dan nasihat mereka tak boleh,” katanya.

Kenyataan itu dilihat menyentuh ironi dalam Bersatu apabila parti yang lahir atas slogan reformasi politik kini didakwa semakin menyerupai budaya politik lama yang menolak perbezaan pandangan.

Untuk rekod, krisis dalaman Bersatu terus menjadi perhatian sejak beberapa pimpinan dan ahli parti dikenakan tindakan disiplin, selain wujud dakwaan terdapat pihak yang cuba mengawal naratif parti hingga menjejaskan keyakinan ahli dan pengikut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share