
KUALA LUMPUR, 11 NOV 25 — Tindakan Parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai tamparan besar terhadap gabungan itu di Sabah, menurut Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Malike Brahim.
Beliau berkata, langkah tersebut bukan sahaja menggugat kekuatan PH Sabah, malah menandakan perubahan jajaran politik baharu di negeri itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Perkembangan UPKO sebagai antara parti lama di Sabah, seangkatan dengan USNO suatu ketika dahulu, menjadikan tindakan keluar daripada PH ini satu tamparan besar kepada PH Sabah,” katanya.
Dr Malike menjelaskan, keputusan UPKO berkemungkinan berpunca daripada hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta cara kerja Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN-UMNO) yang bekerjasama dengan PH di peringkat pusat.
“UPKO memahami sentimen rakyat Sabah yang semakin kuat menolak dominasi parti Semenanjung. Selain isu tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), UPKO mungkin berasa banyak isu rasuah dan salah guna kuasa gagal ditangani dengan tegas, seolah-olah didiamkan demi kelangsungan politik,” ujarnya.
Beliau turut berpendapat bahawa pengunduran UPKO bukan semata-mata keputusan jangka pendek, tetapi sebahagian daripada strategi politik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Pada hemat saya, pengunduran UPKO dari PH juga satu langkah strategik ke hadapan. Mereka mahu jaminan politik yang lebih stabil walaupun hari ini masih berada dalam Kerajaan Madani,” katanya lagi.
Menurut Dr Malike, keputusan itu turut mencerminkan wujudnya konflik kepimpinan dalam Kerajaan Madani yang semakin ketara, terutama apabila timbul khabar mengenai rombakan kabinet selepas PRN Sabah.
“Mungkin masa depan pemimpin UPKO dalam Kerajaan Madani dilihat samar-samar, maka lebih baik mereka keluar lebih awal dan menjadikan PRN Sabah sebagai manifestasi ketidakyakinan tersebut,” jelasnya.
Beliau menjangka PRN Sabah bakal menyaksikan persaingan sengit dengan kemungkinan pertembungan tiga atau empat penjuru, termasuk penyertaan calon bebas.
“Persaingan di Sabah nanti dijangka lebih terbuka dan sengit kerana setiap gabungan membawa agenda MA63 serta menunggang sentimen autonomi Sabah untuk meraih sokongan rakyat,” katanya.
Semalam, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bertindak mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta selepas empat tahun bersama gabungan itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.