
KUALA LUMPUR, 6 MEI 25 – Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid menegaskan penentangan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) bukan berasaskan perkauman tetapi perlindungan kepada rakyat yang miskin dan berisiko mewujudkan polarisasi kelas.
Katanya, URA dalam bentuk sedia ada merupakan ancaman bukan sahaja kepada orang Melayu, tetapi semua rakyat Malaysia, termasuk komuniti Cina dan India.
“Sebaliknya, ia adalah soal ketelusan, keadilan, dan perlindungan hak asasi. Jika tidak dipinda, URA boleh mencetuskan konflik antara rakyat miskin dengan pemaju kaya, mengakibatkan polarisasi kelas,” katanya di media sosial.
Selain itu katanya, masalah utama ialah skop URA yang terlalu luas – meliputi seluruh Semenanjung Malaysia dan Labuan, termasuk bandar dengan populasi seramai 10,000 orang atau pusat pentadbiran daerah yang lebih kecil.
Rafique berkata, keadaan itu akan memberi kuasa terlalu besar kepada Jawatankuasa URA untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai zon pembaharuan melalui warta kerajaan.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah URA membenarkan pengambilalihan tanah dan bangunan melalui tiga cara iaitu; pembelian paksa, perintah mahkamah, atau menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Persoalannya, adakah pemilik akan mendapat pampasan yang adil?,” kata Rafique.
Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu mengkaji semula URA dengan teliti dan melibatkan semua pihak.
“Memperbaiki yang rosak memerlukan kerajaan yang memahami, bukan undang-undang yang memijak hak rakyat,” tegas Rafique. @politiko.my