‘Relaks, PMX Sendiri Veteran Demonstrasi’ – Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Jun 25 – Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim menegur mana-mana pihak yang mengkritik tindakan sekumpulan mahasiswa menyertai demonstrasi aman di Kota Kinabalu baru-baru ini yang membakar karikatur Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zaid berkata, perdana menteri itu sendiri asalnya adalah peserta demonstrasi yang kini boleh dianggap sebagai veteran.

“Dr Akmal tidak sepatutnya menggelar pelajar-pelajar yang membakar karikatur Anwar sebagai “bodoh” atau menganggap tindakan mereka sebagai manifestasi tingkah laku kasar, biadab dan tidak bertamadun,” katanya, merujuk kepada Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Salleh yang menegur tindakan mahasiswa tersebut.

Akmal di laman Facebooknya menzahirkan rasa kecewa dengan perbuatan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak beradab walaupun dilakukan atas dasar keberanian bersuara.

“Saya berpendapat para pelajar tersebut telah menunjukkan kawalan diri, dan itu hanyalah sebahagian daripada protes aman yang sepatutnya diterima dalam sebuah negara demokrasi,” kata Zaid, dalam hantaran di Laman X miliknya.

Katanya, Dr Akmal sendiri pernah melabel pemimpin parti lawan dengan gelaran yang tidak senonoh, jadi tidak wajar untuk beliau menasihati mahasiswa berkenaan.

“Akmal sendiri pernah menggelar Teresa Kok sebagai ‘Nyonya Tua’, dan Umno pernah membakar gambar Lim Guan Eng suatu ketika dahulu. Umno Selangor juga pernah membakar gambar saya apabila saya mempertahankan Tun M sebagai calon Perdana Menteri yang baik pada tahun 2017.

“Di mana letaknya tingkah laku yang baik ketika itu?,” kata Zaid.

Beliau sebaliknya meminta semua pihak bertenang dan tidak terlalu mengambil berat perkara itu.

“Mengapa terlalu sensitif terhadap bentuk protes sebegini? PMX sendiri adalah seorang veteran demonstrasi. Bertenang sajalah,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share