
KUALA LUMPUR, 26 DIS 25 — Ketua Bahagian BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che Gubard, mendakwa beliau berdepan serangan bertubi-tubi bukan sahaja daripada pihak kerajaan, malah daripada individu dalam parti sendiri, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap kepimpinan dan budaya dalaman BERSATU.
Dalam satu kenyataan menerusi siaran youtube, Chegubard berkata serangan daripada “rejim Madanon” dan pasukan siber kerajaan merupakan sesuatu yang dijangkakan apabila pembangkang lantang mengkritik kerajaan. Namun, apa yang lebih menghairankan, menurut beliau, adalah serangan ganas dan berulang yang datang daripada pihak dalam parti sendiri.
“Saya sudah lama minta Tan Sri Muhyiddin ambil tindakan kerana serangan ini dimulakan oleh orang-orang di sekeliling beliau, golongan yang saya sifatkan sebagai penjilat kepada presiden parti,” katanya.
Chegubard berkata keadaan menjadi lebih mengecewakan apabila beliau mula membangkitkan isu-isu yang disifatkan sebagai kritikal dan berkepentingan awam, yang sepatutnya mendapat sokongan rakan seperjuangan dalam parti.
“Saya menjangkakan mereka yang selama ini bersama-sama menyerang rejim akan berdiri dengan saya. Tetapi malangnya, saya terus diserang dengan lebih hebat,” katanya.
Beliau turut mendakwa terdapat individu yang pernah mendapat manfaat besar ketika memegang jawatan, termasuk isu pemilikan tanah dan syarikat bernilai rendah semasa era pentadbiran negeri, yang kini didakwa menjadi antara pihak paling agresif menyerang beliau secara terbuka, termasuk di media sosial.
Menurut Chegubard, serangan tersebut sering disertai naratif untuk merosakkan kredibilitinya, termasuk dakwaan bahawa pendedahan yang dibuatnya tidak membawa sebarang hasil.
Beliau juga mempersoalkan peranan Ketua Penerangan parti yang menurutnya mempertahankan individu tertentu dan membiarkan serangan terhadap beliau berterusan tanpa henti.
Keadaan itu, kata Chegubard, mendorong beliau membuat kesimpulan bahawa wujud unsur “komplot” dalam parti, sekali gus menjejaskan keupayaan pembangkang untuk berfungsi secara berkesan.
“Isu rejim banyak, kesilapan kerajaan banyak. Tetapi kenapa pembangkang sering dilihat lemah, lambat dan tidak diyakini rakyat?” soalnya.
Chegubard mendakwa wujud pemimpin tertentu yang didakwa terikat dengan kes atau isu tertentu, menyebabkan mereka mudah ditekan dan akhirnya bertindak menyerang pihak dalam parti yang bersikap kritikal.
“Apabila ada orang dalam parti menyerang dengan begitu agresif, orang itu wajib dianggap sebagai musuh kepada parti dan musuh kepada kelompok presiden,” katanya.
Kenyataan itu dilihat mencerminkan ketegangan dalaman yang semakin ketara dalam BERSATU, khususnya melibatkan hubungan antara kepimpinan pusat dan akar umbi, serta persoalan keutuhan parti sebagai komponen utama pembangkang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.