
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Kerajaan disaran menyelesaikan dahulu isu berbangkit berkenaan cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebelum di bentangkan di Dewan Rakyat, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, terdapat beberapa perkara yang menuntut kejelasan antaranya ambang persetujuan yang terlalu arbitrari, pampasan yang mungkin tidak adil, dan persoalan sama ada URA ini mematuhi Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam siri perbincangan dengan KPKT melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi (JKPK IPK), saya dan ramai lagi rakan-rakan ahli parlimen berkali-kali menyuarakan keresahan rakyat berkait isu URA ini.
“Saya masih merasakan kerajaan belum berjaya menangani kebimbangan yang disuarakan rakyat,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pihaknya sehubungan itu meminta JKPK IPK agar menangguhkan pembentangan tersebut.
“Sebab itulah hari ini saya menyampaikan cadangan kepada JKPK IPK agar meminta Menteri KPKT menangguhkan pembentangan RUU URA ini kepada Dewan Rakyat sehinggalah semua isu berbangkit dapat diselesaikan dengan harmoni.
“Sekiranya kerajaan mahu ‘bulldoze’ RUU URA, memang kerajaan boleh ‘bulldoze’ sebab mereka ada majoriti… tetapi itu adalah satu kezaliman majoriti (tyranny of the majority).”
Sebelum ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar. Namun sehingga kini, cadangan tersebut terus menerima tentangan hebat daripada pembangkang, terutamanya pemimpin Perikatan Nasional yang mendakwa undang-undang ini akan menafikan hak golongan minoriti di bandar. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.