
KUALA LUMPUR, 29 Sep 25 — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mendakwa Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, adalah individu pertama yang mencetuskan naratif songsang kononnya wujud usaha menjatuhkan Presiden parti menerusi Statutory Declaration (SD).
Beliau menegaskan, dokumen yang ditandatangani oleh beberapa pemimpin bahagian sebelum ini tidak langsung menyebut penolakan terhadap Presiden, sebaliknya hanya menegaskan pendirian supaya usul sensitif tidak dibawa ke Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).
“Tidak ada satu ayat pun dalam dokumen itu yang menolak Presiden. Malah kami siap letakkan syarat bahawa Tan Sri Presiden mesti terus berada di depan. Jadi di mana salahnya kandungan dokumen ini?” katanya.
Menurut Wan Saiful, naratif tersebut bermula selepas satu pertemuan di Ibu Pejabat Bersatu pada 19 Ogos lalu, membabitkan Azmin serta beberapa ketua bahagian termasuk Datuk Suhaimi Ghazali (Sepang), Shukor Mustafa (Puchong), Rosnizan Ahmad (Kuala Langat) dan Datuk Harrison Hassan (Kuala Selangor).
Beliau mendakwa dalam pertemuan itu, Suhaimi dan Shukor diugut supaya menarik balik sokongan terhadap dokumen tersebut, dengan amaran mereka tidak akan diberikan watikah calon pada pilihan raya umum akan datang.
“Mereka tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen untuk menjatuhkan Presiden, jadi bagaimana mahu tarik balik?
Namun Azmin berkeras, malah memberi gambaran bahawa kuasa menentukan calon parti sebenarnya di tangannya, bukan Presiden,” kata Wan Saiful.
Polemik dalaman ini tercetus selepas perbahasan hangat mengenai usul calon Perdana Menteri yang dianggap boleh membawa mudarat kepada parti.
Perkembangan itu turut mencetuskan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin, sekali gus menimbulkan perpecahan pandangan dalam kalangan ahli Bersatu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.