Wan Saiful Desak Kerajaan Selesai Isu Banjir Tasek Gelugor, Gesa Reformasi Bantuan Kebajikan Negara

KUALA LUMPUR, 27 Okt 25 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mendesak kerajaan supaya memberi tumpuan serius terhadap penyelesaian jangka panjang masalah banjir di kawasannya yang saban tahun menjejaskan ratusan penduduk.

Berucap dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, Wan Saiful berkata, ketika ini ratusan keluarga di Tasek Gelugor telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara akibat banjir yang melanda sejak awal minggu ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada sukarelawan, agensi kerajaan serta petugas Pusat Khidmat Parlimen Tasek Gelugor yang membantu mangsa banjir, namun menegaskan bahawa bantuan sementara tidak mencukupi.

“Kita tak boleh berpuas hati dengan hanya memberi bantuan setiap kali banjir melanda. Apa yang kita mahukan ialah penyelesaian muktamad,” katanya.

Menurutnya, walaupun terdapat peruntukan dalam Belanjawan 2026 bagi mengurangkan risiko bencana, kerajaan perlu menjelaskan berapa jumlah sebenar yang disalurkan khusus untuk kawasan Tasek Gelugor serta jadual pelaksanaan projek berkaitan.

“Tiada Reformasi, Tiada Cukai Vape”

Dalam bahagian lain ucapannya, Wan Saiful turut menyokong pandangan Ketua Pembangkang bahawa Belanjawan 2026 gagal memberi keyakinan kepada rakyat dan tidak memperkenalkan langkah baharu bagi merangsang ekonomi.

Beliau menyifatkan belanjawan itu “terlalu selesa dengan retorik” dan tidak berani melaksanakan reformasi struktur ekonomi serta budaya pentadbiran negara.

Wan Saiful mempersoalkan ketiadaan pengumuman mengenai cukai vape walaupun kerajaan menaikkan cukai rokok sebanyak 2 sen sebatang atau 40 sen bagi setiap kotak.

“Adakah Kementerian Kewangan menolak cadangan Kementerian Kesihatan untuk menaikkan cukai vape kepada RM4 setiap mililiter, atau wujud percanggahan dasar antara dua kementerian?” soalnya.

Beliau turut menggesa kerajaan menetapkan harga minimum bagi rokok dan vape bagi mengelakkan ketidakseimbangan pasaran serta mengawal penggunaan nikotin dalam kalangan pelajar sekolah.

Wan Saiful juga menyeru kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem bantuan kebajikan, yang menurutnya kini bersifat “tempelan” dan tidak lestari.

Katanya, pelbagai skim bantuan yang bertindih menyebabkan pembaziran serta kekeliruan dalam kalangan rakyat yang memohon bantuan.

“Kita perlu satu sistem kebajikan yang menyeluruh, bukan patchwork yang berubah ikut isu semasa,” ujarnya.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menjalankan kajian mendalam seperti yang dilakukan di United Kingdom melalui pelaksanaan “Universal Credit”, dan seterusnya membentangkan Kertas Putih mengenai penambahbaikan sistem kebajikan nasional. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Dokumen Bocor Dakwa Usaha Singkir Hamzah

Memo tersebut antara lain menuduh Hamzah terlibat dalam usaha menggulingkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, termasuk didakwa mengumpul akuan berkanun (SD) serta membina pakatan untuk mengambil alih parti.
Read More
Total
0
Share