Wan Saiful: Ombudsman Perlu Bebas, Diberi Taring

KUALA LUMPUR, 10 DIS 25 —  Ombudsman yang ingin diwujudkan di Malaysia perlu benar-benar bebas dan diberi taring untuk berfungsi sepenuhnya, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menyambut baik hasrat kerajaan menubuhkan Ombudsman Malaysia, namun mengingatkan agar institusi itu tidak menjadi “sekadar pusat aduan baharu tanpa taring”.

Tegasnya, Ombudsman hanya bermakna jika benar-benar bebas dan diberi kuasa penuh, bukannya versi baharu Biro Pengaduan Awam.

“Saya mula menyuarakan keperluan Ombudsman sejak 2017. Malaysia memerlukan Ombudsman sebenar, bukan kosmetik,” katanya.

Antara cadangan Wan Saiful untuk membolehkan Ombudsman benar-benar berfungsi adalah ia mesti dilantik oleh dan bertanggungjawab kepada Parlimen; mempunyai kuasa siasatan penuh ke atas semua agensi; mampu bertindak dan bukan sekadar memberi nasihat; melindungi pemberi maklumat; serta membentangkan semua laporannya secara telus kepada umum.

Katanya, contoh boleh dilihat seperti perbandingan model dengan luar negara seperti Sweden, New Zealand, UK dan Australia yang memberikan Ombudsman kuasa besar termasuk menyiasat menteri, memaksa pendedahan dokumen, mengarahkan pembetulan kes serta membongkar skandal pentadbiran.

“Semua negara ini berkongsi satu prinsip iaitu Ombudsman bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan perdana menteri,” tegasnya.

Wan Saiful memberi amaran  Ombudsman Malaysia akan gagal jika diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, kerana hanya bergantung pada kebenaran menteri dan tidak mempunyai kuasa mengikat.

“Jika cadangan boleh diabaikan tanpa akibat, ia tidak layak dipanggil Ombudsman,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Saiful menggesa kerajaan membuka ruang perbahasan di Parlimen Januari depan, merujuk rang undang-undang itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas serta memastikan Ombudsman benar-benar bebas daripada eksekutif.

“Rakyat tidak perlukan satu lagi pusat aduan yang tidak berkuasa. Rakyat perlukan institusi yang boleh dipercayai dan diyakini,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share