Wan Saiful Persoal Cukai Vape Tiada Dalam Belanjawan 2026

KUALA LUMPUR, 11 Okt 25 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mempersoalkan ketiadaan sebarang pengumuman berhubung cukai vape dalam Belanjawan 2026, walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini menegaskan bahawa kadar cukai produk berasaskan nikotin akan dinaikkan.

Menurut beliau, tindakan kerajaan yang dilihat tidak konsisten antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan menimbulkan persoalan mengenai kejelasan dasar terhadap pengawalan penggunaan vape di negara ini.

“Kerajaan bercakap tentang mahu mengawal vape dan mengharamkannya secara berperingkat, tetapi cukai dan harga minimum, dua langkah paling asas langsung tidak disebut dalam belanjawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata, keputusan untuk tidak menyenaraikan cukai vape menunjukkan kelemahan koordinasi dasar antara kementerian, selain menimbulkan keraguan sama ada kerajaan benar-benar serius dalam menangani isu nikotin.

“Saya tertanya-tanya, adakah wujud percanggahan dasar antara Kementerian Kesihatan dan Perbendaharaan? Tanpa tindakan yang jelas, belanjawan ini kelihatan tidak konsisten dan gagal menangani isu vape secara menyeluruh,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa harga vape yang kekal rendah berbanding rokok boleh terus menarik minat pengguna muda, sekali gus menggagalkan matlamat kerajaan mengekang penggunaan bahan nikotin.

“Kalau kerajaan benar-benar serius mahu melindungi kesihatan awam, buktikan dengan tindakan, bukan sekadar kenyataan. Cukai dan harga minimum sepatutnya sudah lama dilaksanakan,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, mengumumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menaikkan kadar cukai cecair vape nikotin daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter, serta memperkenalkan harga minimum produk bagi mengekang penyalahgunaan.

Langkah itu dikatakan sejajar dengan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang baru dikuatkuasakan bulan ini, termasuk larangan penjualan kepada individu bawah umur 18 tahun dan sekatan pengiklanan.

Namun, pengumuman Belanjawan 2026 semalam tidak menyebut sebarang langkah berkaitan, sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar cukai vape yang telah dibincangkan sejak tahun lalu.

“Kerajaan perlu berhenti menghantar mesej bercanggah. Kalau KKM bercakap tentang larangan, tetapi Perbendaharaan diam tentang cukai, rakyat akan lihat dasar ini separuh masak,” kata Wan Saiful. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share