
KUALA LUMPUR, 27 Jul 25 – Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi tidak perlu bersara daripada jawatan Ketua Audit Negara kerana pelantikannya dibuat secara teratur mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, ketua audit negara boleh dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan awam, berdasarkan Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan subperenggan 1 (1) Jadual Pertama kepada Akta Audit 1957 (Akta 62).
Merujuk Fasal (2) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, ketika Wan Suraya dilantik sebagai Ketua Audit Negara pada 13 Jun 2023, beliau tidak lagi memegang apa-apa pelantikan lain dalam perkhidmatan Persekutuan.
Disebabkan itu juga, beliau tidak lagi menjadi anggota skim perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), kata AGC.
Meskipun bukan lagi anggota skim perkhidmatan PTD, Ketua Audit Negara masih terus menjadi anggota perkhidmatan awam am berdasarkan Seksyen 3 Akta 62.
“Memandangkan pelantikannya sebagai Ketua Audit Negara adalah teratur, maka tiada keperluan untuk beliau dibersarakan demi kepentingan negara,“ kata AGC lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.