
KUALA LUMPUR, 20 MEI 25 – Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang Parlimen dan Timbalan Presiden Bersatu dilihat sebagai keputusan yang tepat kerana Hamzah adalah figura yang sesuai untuk memimpin Perikatan Nasional (PN) menyaingi kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mazlan Ali berkata, karakter Hamzah adalah sesuai kerana gabungan pembangkang perlu dilihat menyegarkan semula barisan kepimpinannya jika ingin kekal relevan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang
Menurutnya, selepas lebih dua tahun pentadbiran Anwar, rakyat mula melihat prestasi kerajaan Madani sebagai lebih kukuh dan meyakinkan.
“Dua tahun lebih Anwar jadi perdana menteri, nampak beliau dapat bawa Malaysia dengan baik. Ada datanya – perdagangan, hubungan luar, pelaburan, malah nilai mata wang turut menunjukkan penambahbaikan. Isu harga barang juga seolah-olah tidak lagi menjadi masalah utama rakyat,” katanya.
Menurut beliau, situasi ini menyebabkan PN sukar menyaingi kerajaan sedia ada, terutama apabila keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) memihak kepada kerajaan.
“PN kelihatan tidak mampu bersaing dengan Madani. Tidak ada momentum yang boleh ditawarkan oleh kepimpinan sedia ada. Mungkin sudah sampai masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepimpinan kepada tokoh baru, walaupun beliau kekal dalam politik sebagai penasihat kepada Bersatu,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mazlan turut mencadangkan agar perubahan bukan hanya berlaku dalam Bersatu, tetapi turut melibatkan PAS.
“PAS juga mungkin akan menyaksikan presidennya menyerahkan tampuk kepimpinan kepada wajah baharu, ini penting agar PN dapat menawarkan sesuatu yang segar kepada rakyat,” katanya lagi.
Sekiranya tiada perubahan dilakukan,. Mazlan berpandangan prestasi PN akan terus berada di takuk lama dan sukar memberi cabaran kepada kerajaan dalam PRU akan datang.
“Kalau PN masih dengan prestasi sekarang, saya rasa tidak ada momentum untuk PRU. Keputusannya mungkin kerajaan Madani akan terus kekal.
“Di Parlimen pun ahli Parlimen PN tidak berjaya memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan. Isu yang dibangkitkan kadangkala remeh dan tidak berkaitan secara langsung dengan kebajikan rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, sentimen akar umbi yang mahukan perubahan kepimpinan harus diberi perhatian serius oleh pimpinan PN jika mahu kekal relevan dalam landskap politik negara.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum ini mencadangkan PN mempertimbangkan gandingan Hamzah bersama Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memimpin PN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Wan Fayhsal mengharapkan, dua susuk pemimpin itu mampu menarik sokongan pengundi disamping polisi yang mereka gariskan sekiranya berjaya mentadbir.
“Harapan saya agar PN tampil susuk muda dan segar untuk rakyat, Hamzah dan Dr Sam. Teknokrat dua-dua.
“Kalau boleh tampil dua susuk ini dan polisi memenangi hati oramyg Melayu dan orang bukan Melayu kerajaan yang ditubuh tidak ekstrem, moderat, progresif, dan pegang janji reform, saya yakin boleh ‘swing’ 10% undi bukan Melayu. Kita boleh jadi kerajaan,” katanya, dalam wawancara bersama The Zaid Ibrahim Podcast