Zaid Ibrahim: PN Perlu Hantar Isyarat Jelas, Pengerusi PN Bukan Semata-mata Isu Dalaman

KUALA LUMPUR | 7 Jan 25 — Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim, berpandangan Perikatan Nasional (PN) berada pada detik paling kritikal apabila bakal mengadakan mesyuarat penting minggu ini bagi memilih Pengerusi baharu untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, pemilihan Pengerusi PN tidak boleh dilihat sebagai urusan dalaman semata-mata, sebaliknya mesti disertai dengan isyarat politik yang jelas kepada rakyat mengenai siapakah pemimpin yang akan ditampilkan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya PN berjaya menawan Putrajaya.

“Sama penting dengan memilih Pengerusi ialah memberi mesej yang tegas kepada orang ramai tentang siapa yang akan menggantikan Anwar Ibrahim jika PN menang,” katanya dalam hantaran di facebook.

Zaid menjangkakan perbincangan panjang dan serius akan berlangsung dalam kalangan pimpinan PN, namun beliau yakin keputusan yang tepat boleh dicapai memandangkan ini dianggap peluang terakhir parti-parti Melayu untuk bersatu dan membentuk kerajaan dengan kekuatan sendiri.

Beliau mengingatkan bahawa perubahan struktur politik negara selepas 2027, termasuk persempadanan semula kawasan pilihan raya dan implikasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), akan mengubah secara kekal imbangan kuasa politik.

“Apabila faktor-faktor ini mula berkuat kuasa, orang Melayu akan kehilangan keupayaan menentukan nasib sendiri. Jumlah kerusi Parlimen yang melebihi 222 tidak lagi menjamin dominasi politik seperti sejak 1957,” tegasnya.

Dalam nada yang lebih terbuka, Zaid menyeru orang Melayu supaya menghentikan perbalahan sesama sendiri, khususnya di peringkat elit politik. Beliau turut menyentuh stereotaip negatif terhadap orang Melayu, termasuk tuduhan mencintai rasuah dan tidak progresif, sambil menegaskan bahawa persepsi itu tidak seharusnya melemahkan tekad untuk bersatu.

“Terimalah kritikan itu dengan tenang. Apa yang lebih penting ialah kita bersatu dan sanggup membuat pengorbanan terbesar demi masa depan,” katanya.

Zaid turut menggariskan keperluan menyusun semula dasar ekonomi negara dengan pendekatan yang lebih berpihak kepada rakyat, termasuk membolehkan pesawah padi memiliki kilang sendiri, memanfaatkan tanah luar bandar secara menyeluruh, serta menghentikan kebergantungan kepada projek lebuh raya dan konsesi berskala besar.

Beliau juga menggesa kerajaan masa depan mengambil tindakan tegas memecahkan monopoli dan kartel, di samping memberi ruang kepada peniaga Melayu untuk berniaga secara bebas dan memiliki syarikat pengangkutan sendiri.

Antara cadangan lain yang diketengahkan ialah pemberian pembiayaan mencukupi kepada usahawan kecil serta pewujudan daftar pusat Tanah Rizab Melayu bagi mengenal pasti potensi pembangunan secara lebih sistematik.

Namun, Zaid menegaskan semua agenda reformasi itu hanya boleh direalisasikan sekiranya PN berjaya merampas kembali Putrajaya.

“Banyak perkara boleh kita lakukan secara berbeza sekarang. Tetapi prasyaratnya satu — kita mesti kembali berkuasa di peringkat Persekutuan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share