
KUALA LUMPUR | 6 Mac 26 – Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Shahrulufti Sharif, menegaskan bahawa perpaduan Melayu dan Islam tidak boleh dibina atas jemputan terpilih atau permainan politik blame game.
Beliau berkata, sekiranya benar-benar ingin mencari titik persamaan, langkah yang paling wajar adalah dengan menjemput semua presiden parti Melayu dan Islam untuk berbincang di bawah satu payung besar. Langkah ini, menurut Shahrulufti, akan memastikan hala tuju jelas, menunjukkan kejujuran pemimpin, dan mengelakkan usaha tersebut ditafsir sebagai agenda politik semata-mata.
“Perubahan prinsip tanpa penjelasan yang konsisten hanya menimbulkan tanda tanya. Asas kepada perpaduan ialah proses inklusif yang menghormati semua pihak, bukan sekadar sidang akhbar atau jemputan separuh jalan,” tegas beliau.
Shahrulufti menegaskan bahawa payung besar Melayu-Islam sepatutnya menjadi platform utama untuk mencari titik persamaan demi agama, bangsa dan negara, bukan menjadi medan pertikaian dan pertelingkahan politik.
Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki yang mempengerusikan musyawarah itu memberitahu ketidakhadiran parti PUTRA adalah kerana parti tersebut telah menolak pelawaan UMNO.
Baru-baru ini, berlangsung satu Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan Parti-Parti Politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera di Ibu Pejabat UMNO, WTC Kuala Lumpur. Lapan politik utama yang terlibat termasuklah UMNO, PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), AMANAH, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, KIMMA, dan Parti Ikatan Bangsa (IKATAN).
Selain PUTRA, parti BERSATU juga tidak hadir dalam musyawarah tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.