10 Mantan EXCO Bawa SUK ke Mahkamah

SEREMBAN | 8 Okt 26 – Sepuluh mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban bagi mencabar keabsahan pewartaan yang membatalkan pelantikan mereka.

Firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dalam kenyataan media bertarikh 7 Oktober memaklumkan saman itu difailkan pada 5 Oktober terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan.

Pertikaian itu berpunca daripada keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, membatalkan pelantikan 10 Exco berkuat kuasa 20 September 2026. Istana sebelum ini menjelaskan keputusan itu dibuat selepas kesemua Exco didakwa melanggar sumpah taat setia melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September.

Keputusan berkenaan kemudiannya diwartakan pada 24 September, dengan pewartaan merujuk Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menyatakan Ahli MMKN, selain Menteri Besar, memegang jawatan selama diperkenan Yang di-Pertuan Besar.

Namun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, sebelum ini mempertikaikan pembatalan tersebut dan mendakwa beliau tidak pernah menasihati atau dirujuk berhubung penamatan pelantikan 10 Exco berkenaan. Beliau berhujah tindakan itu tidak mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Dalam saman terbaru itu, 10 bekas Exco berkenaan memohon, antara lain, deklarasi daripada Mahkamah Tinggi sama ada pewartaan tersebut sah dan berkuat kuasa sekiranya pembatalan pelantikan dibuat tanpa nasihat Menteri Besar, sebagaimana didakwa dikehendaki di bawah Perkara XXXVIII(5), dibaca bersama Perkara XL(1), XL(1A) dan XL(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Saman tersebut turut disokong 10 afidavit daripada semua Ahli MMKN berkenaan, selain afidavit tambahan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pihak peguam bagaimanapun menggesa orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu sehingga ia diputuskan Mahkamah, bagi mengelakkan timbulnya isu subjudis. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share