
KUALA LUMPUR, 4 DIS 25 — Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim hari ini mendesak Dewan Rakyat memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), selepas 13 tahun dikuatkuasakan, dengan menyifatkan akta itu mempunyai banyak kecacatan yang bercanggah dengan prinsip demokrasi dan keadilan.
Dalam ucapannya, Hassan menegaskan bahawa keadilan tidak boleh ditegakkan hanya dengan niat yang baik.
“Dari segi keadilan, tujuan yang baik saja tidak cukup. Cara juga mesti baik kerana tujuan tidak boleh menghalalkan cara. Selepas 13 tahun berkuat kuasa, jelaslah Akta Sosma ini banyak kecacatannya yang bertentangan dengan demokrasi dan keadilan. Katanya.
Hassan turut mempersoalkan peruntukan SOSMA yang membenarkan tahanan selama 28 hari tanpa dibawa ke mahkamah atau mendapatkan perintah majistret.
“Bagaimana apabila seorang itu ditahan selama 28 hari dia direman tanpa dibawa ke mahkamah, tanpa ada perintah daripada majistret untuk seseorang yang ditahan itu diberi hak untuk mahkamah menentukan boleh atau tidak?” katanya.
Menurutnya, tuntutan beliau supaya SOSMA dimansuhkan lebih tegas daripada gesaan SUHAKAM dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai hak asasi.
“Pasir Gudang mendesak supaya akta ini dimansuhkan oleh Dewan Parlimen ini. Di sini digubal, di sini kita mansuhkan selepas 13 tahun.”
Menjawab pertanyaan ahli Parlimen lain berkaitan alternatif kepada SOSMA, Hassan menegaskan bahawa undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani keganasan.
“Ada undang-undang lain selain daripada SOSMA untuk kerajaan negara kita ini menangani terorizm. Undang-undang itu telah digubal oleh Parlimen. Nama dia POTA, Prevention of Terrorism Act.”
Beliau turut mempersoalkan penggunaan SOSMA terhadap pihak yang bukan pengganas atau kumpulan jenayah.
“Kenapa SOSMA ini digunakan untuk menahan jemaah GISB Global Ikhwan Sendian Berhad itu? Adakah mereka teroris? Adakah mereka organisasi jenayah?” ujarnya.
Hassan juga merujuk kepada penahanan bekas Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah.
“Bagaimana Maria Chin… ditahan di bawah SOSMA yang memperjuangkan pilihan raya yang adil dan bersih? Ancaman nasional apa yang beliau lakukan? Itu tandanya akta ini zalim, draconian.”
Beliau mengingatkan kerajaan bahawa Pakatan Harapan pernah berjanji untuk memansuhkan undang-undang bersifat drakonian dalam manifesto pilihan raya lalu.
“Kita berjanji dalam manifesto… apa juga undang-undang drakonian kita akan mansuhkan. Inilah masa. Ada dua tahun lagi kita di dalam Parlimen, kalau kita tidak mansuhkan ini, bermakna kita sama-sama, termasuk saya, gagal melaksanakan reformasi yang sebenarnya.”
Hassan menutup ucapannya dengan menyeru kerajaan mengambil tindakan segera selaras dengan janji reformasi yang dikemukakan kepada rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.