
KUALA LUMPUR | 13 Jun 2026 – Tokoh wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin membidas pendekatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz, yang dilihat mengaitkan tindakan terhadap pengkritik kerajaan dengan peranan agensi itu.
Menurut A. Kadir, fungsi utama J-KOM adalah menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi serta mewujudkan komunikasi dua hala yang sihat, bukannya bertindak sebagai agensi penguatkuasaan.
Beliau berkata, sepanjang pengetahuannya, tidak pernah timbul sebelum ini persepsi bahawa J-KOM berperanan untuk “mengutip” atau mengambil tindakan terhadap pengkritik Perdana Menteri dan Kerajaan Madani.
“Sepanjang yang difahami umum, ‘kutip’ atau ambil tindakan terhadap media massa dan pengguna media sosial ini adalah tanggungjawab polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam satu kenyataan.
A. Kadir yang mempunyai pengalaman puluhan tahun dalam bidang kewartawanan turut mempersoalkan pendekatan menggunakan saluran penguatkuasaan bagi berdepan kritikan awam.
“Saya pun tidak pasti kalau buat aduan polis itu cara terbaik dalam komunikasi akar umbi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dalam dunia kewartawanan dan komunikasi massa, kritikan sepatutnya dijawab melalui perbahasan, penjelasan dan hujah yang meyakinkan, bukannya melalui laporan kepada pihak berkuasa.
“Dalam kewartawanan dan komunikasi massa, kita lawan dengan hujah. Kita berbahas, berartikulasi dan mengamalkan hak menjawab (right of reply). Kita tidak mengadu kepada polis,” tegasnya.
A. Kadir turut mengingatkan bahawa peranan rasmi J-KOM sendiri adalah untuk menyampaikan maklumat kerajaan secara berkesan kepada rakyat sambil menghormati perbezaan pandangan dalam masyarakat.
Beliau secara sinis turut membangkitkan persoalan sama ada pendekatan yang ditonjolkan oleh kepimpinan baharu J-KOM itu benar-benar selari dengan matlamat asal penubuhan agensi berkenaan.
Menurutnya, keberkesanan komunikasi bukan ditentukan oleh tindakan terhadap pengkritik, sebaliknya bergantung kepada kredibiliti penyampai dan keupayaan mereka meyakinkan rakyat.
“Dalam ilmu kewartawanan dan komunikasi dikatakan, kalau pembawa khabar seorang yang berwibawa maka kemungkinan khabar yang dibawanya dipercayai adalah lebih besar,” katanya.
Kenyataan A. Kadir itu dilihat sebagai teguran terbuka terhadap pendekatan komunikasi kerajaan yang semakin cenderung menggunakan saluran penguatkuasaan berbanding menjawab kritikan melalui penerangan dan hujah kepada rakyat.
Mohd Hisyamuddin Ghazali, lebih dikenali sebagai Syam Ghaz, yang diberi tanggungjawab menerajui Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), mengambil alih tugas daripada Ismail Yusop, yang perkhidmatannya ditamatkan lebih awal sebelum ditugaskan semula ke Jabatan Perdana Menteri.
Dia segera bergerak pantas namun haluan yang diambil menimbulkan tanda tanya, termasuk persoalan mengenai bidang kuasa J-Kom apabila gaya Hisyamuddin dilihat lebih agresif, bukan sahaja dalam mempertahankan dasar kerajaan, tetapi juga menyerang pihak yang dianggap sebagai pengkritik. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.