
ALOR SETAR | 13 Jun 26 – PAS menegaskan keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan BERSATU dibuat selepas melalui proses penelitian yang menyeluruh dan pertimbangan strategik yang mendalam, bukannya berdasarkan emosi atau tekanan politik semasa.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata setiap keputusan besar yang melibatkan gerak kerja, strategi, prinsip dan dasar parti dibuat secara kolektif selepas melalui proses pengumpulan maklumat, analisis dan perbincangan di pelbagai peringkat kepimpinan.
Menurut beliau, PAS mengambil pendekatan berasaskan data dan maklumat sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan, termasuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak serta kepimpinan negeri-negeri.
“Keputusan yang dibuat adalah keputusan yang telah dibincang dengan begitu mendalam dan mengambil kira pelbagai perkara,” katanya dalam ucapan ketika pelancaran Jentera Pilihan Raya PRU 16, Negeri Kedah.
Samsuri berkata kedudukan PAS pada hari ini menuntut parti itu berfikir lebih jauh dalam membuat percaturan politik, selari dengan peranannya sebagai parti yang mempunyai jumlah ahli Parlimen terbesar di Dewan Rakyat.
“PAS sekarang ini berada di liga yang bukan biasa. Kita merupakan parti yang mempunyai komposisi ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang paling besar sekali, 43. Terbesar daripada mana-mana parti yang ada dalam negara kita.
“Maka tentunya kita bukan main liga kampung lagi,” katanya.
Beliau menjelaskan setiap keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kesan politik beberapa langkah ke hadapan, termasuk menjangka tindakan balas pihak lawan serta perubahan landskap politik yang mungkin berlaku.
Menggunakan analogi permainan catur, Samsuri berkata PAS tidak lagi boleh membuat keputusan berdasarkan situasi semasa semata-mata, sebaliknya perlu menilai implikasi dua, tiga, empat malah lima langkah ke hadapan sebelum menentukan tindakan yang akan diambil.
“Langkah yang kita nak ambil perlu melihat sepenuhnya dua langkah, tiga langkah, empat langkah, lima langkah ke hadapan termasuk apa yang akan dilakukan oleh lawan politik sebelum kita membuat keputusan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itulah yang akhirnya membawa kepada keputusan PAS untuk menamatkan kerjasama dengan BERSATU.
Bagaimanapun, Samsuri menegaskan keputusan tersebut tidak mengubah komitmen PAS terhadap Perikatan Nasional.
Sebaliknya, katanya, PAS akan terus bersama dan memimpin PN dalam usaha menawarkan alternatif kepada rakyat serta menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita akan tetap committed dan bersama dengan Perikatan Nasional, insya-Allah untuk terus memimpin Perikatan Nasional dan membawa Perikatan Nasional untuk menerajui negara ini dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai penjelasan rasmi PAS bahawa keputusan terhadap BERSATU merupakan sebahagian daripada percaturan politik jangka panjang parti, yang dibuat selepas menilai pelbagai faktor dan implikasi terhadap masa depan PN. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.