
PONTIAN, 10 Februari 2026 — BERSATU Johor yang diwakili 14 Bahagian hari ini secara terbuka mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, susulan kegagalan kepimpinan pusat mengurus krisis dalaman serta dakwaan penyalahgunaan mekanisme disiplin parti terhadap pimpinan utama.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, tindakan Lembaga Disiplin BERSATU terhadap Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, termasuk beberapa Ketua Bahagian dan wakil rakyat yang dilihat menyokong beliau, disifatkan sebagai bermotifkan politik dan lebih cenderung melindungi kedudukan Presiden berbanding mempertahankan keadilan serta kepentingan parti.
Kumpulan Ketua Bahagian itu berpandangan bahawa proses disiplin yang sedang berlangsung bukan sahaja mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan ahli akar umbi, malah menghakis keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan integriti kepimpinan BERSATU secara keseluruhan.
“Malah, keadaan ini berpotensi memberi kesan besar terhadap hubungan strategik BERSATU dengan rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya ketika landskap politik negara menuntut kestabilan dan kesepaduan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, para Ketua Bahagian terbabit menggesa Muhyiddin agar meletakkan kepentingan parti mengatasi agenda peribadi, mengambil langkah segera memulihkan keyakinan ahli, serta membuka ruang kepada proses pembinaan semula parti secara lebih inklusif dan berprinsip.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Haji Musa bin Haji Khamis selaku Ketua Bahagian Tanjung Piai, yang mewakili pendirian kolektif kepimpinan BERSATU Johor. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.